Tolong sekat penjualan lampu HID – FOMCA

Tolong sekat penjualan lampu HID – FOMCA

 

Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menggesa kerajaan menguatkuasakan undang-undang menyekat penjualan lampu HID (High Intensity Discharge) di kedai aksesori kenderaan dan secara dalam talian bagi ia tidak digunakan secara berleluasa.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr T Saravanan berkata, penggunaan lampu tersebut akan mengganggu penglihatan pemandu kenderaan lain dan berisiko mengakibatkan kemalangan jalan raya.

“FOMCA berpandangan bahawa mengharamkan penjualan lampu HID itu sangat wajar kerana cahayanya amat cerah sehingga dua kali lebih cerah berbanding lampu biasa.

“Jadi, penggunaan pada waktu malam menyebabkan lampu itu bertambah silau dan boleh menyebabkan kemalangan kepada pengguna jalan raya lain.

“Oleh itu, kami sangat-sangat berharap agar perkara itu diberikan pertimbangan sewajarnya, apatah lagi penggunaan lampu cahaya putih sememangnya salah dari segi undang-undang jalan raya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Saravanan turut menggesa kerajaan khususnya agensi penguat kuasa untuk membuat penguatkuasaan undang-undang dan operasi secara lebih kerap bagi membanteras penggunaan lampu HID yang tidak mengikut spesifikasi undang-undang jalan raya.

“Kekerapan operasi yang dijalankan secara tidak langsung boleh memberi kesedaran dan mengundang rasa takut kepada pengguna kenderaan untuk memasang lampu tersebut.

“Tujuan utama penguatkuasaan ini bukan sahaja untuk mengeluarkan saman kepada pemilik kenderaan tetapi apa yang lebih penting adalah untuk mendidik mereka supaya tidak melanggar undang-undang,” katanya.Katanya, jumlah saman oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau polis trafik terhadap kesalahan penggunaan lampu HID perlu ditingkatkan bagi memberi lebih kesedaran kepada para pengguna.

“Kalau tidak silap saya jumlah saman bagi kesalahan itu adalah RM2,000 masih rendah.

“Jadi menaikkan jumlah saman juga salah satu kaedah yang baik untuk memberi pengajaran kepada mereka,” katanya, memetik laporan Sinar Harian.