Isu RFID: ‘Panas telinga’, PLUS Malaysia tutup ruangan komen di Facebook

Isu RFID: ‘Panas telinga’, PLUS Malaysia tutup ruangan komen di Facebook

 

Sistem Indentifikasi Frekuensi Radio (RFID) yang sepatutnya memudahkan pengguna jalan raya di Malaysia dalam usaha mengatasi masalah kesesakan trafik di plaza tol bertukar menjadi medium yang menyusahkan.

Manakan tidak, ribuan pengguna jalan raya yang terpaksa menanggung bahana sangkut dalam kesesakan jalan raya di beberapa plaza tol selepas pelaksanaan lorong RFID.

Paling mencuri tumpuan adalah Plaza Tol Bandar Seri Putra, apabila ketiadaan lorong SmartTAG membuatkan berlakunya kesesakan yang panjang dengan rakaman kejadian berkenaan tular di media sosial semalam.

Menurut perkongsian di Facebook Group Bandar Seri Putra Community [Official], kawasan tersebut sudah cukup sesak sebelum ini namun pelaksanaan lorong RFID mencetuskan kesesakan yang lebih luar biasa.

Insiden tersebut turut menyaksikan pengguna jalan raya membanjiri ruangan komen PLUS Malaysia di Facebook, namun apa yang mengejutkan, PLUS Malaysia bertindak menutup ruangan komen gara-gara tidak tahan dikecam.

Persoalannya, adakah wajar bagi PLUS Malaysia sebagai organisasi besar bertindak menutup ruang komen berbanding cuba membantu menjelaskan keadaan sebenar terhadap mereka yang berang dan tidak berpuas hati?

Dalam perkembangan terbaru, Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof telah mengarahkan PLUS Malaysia mencari jalan penyelesaian susulan isu kesesakan yang berlaku di plaza tol berikutan pelaksanaan RFID.

“Saya meminta mereka menjelaskan kepada orang ramai serta cari penyelesaian kepada segala isu berbangkit mengenai pelaksanaan RFID ini,” jelasnya.

PLUS Malaysia sebelum ini sudah pun memulakan kempen bertukar kepada RFID sejak 25 Disember lalu.

Bagaimanapun, kempen itu berdepan kritikan apabila rata-rata pengguna RFID masih berdepan beberapa isu antaranya pelekat RFID tidak diberjaya dikesan sensor maka pemandu terpaksa undurkan kenderaan di lorong RFID.

Bukan itu sahaja, ketika Smart Tag dan Touch ‘n Go boleh juga digunakan pada kenderaan lain, pelekat RFID hanya boleh digunakan pada satu kenderaan sahaja sekaligus memaksa pengguna membeli lebih dari satu pelekat.