Padah buat hantaran jelik nahas helikopter TLDM, ‘Saifuddin Shafik’ didenda RM23K

Padah buat hantaran jelik nahas helikopter TLDM, ‘Saifuddin Shafik’ didenda RM23K

 

Padah membuat hantaran jelik mengenai korban nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), seorang lelaki didenda RM23,000 oleh Mahkamah Sesyen Taiping pada Jumaat.

Hakim Nabisha Ibrahim menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Saifuddin Shafik, 36, yang membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah menggunakan aplikasi X miliknya secara sedar untuk membuat hantaran yang jelik dengan niat untuk menyakiti hati orang lain.

Hantaran itu telah dibaca pada 23 April 2024 jam lebih kurang jam 6.30 petang di Gedung Sari Jalan Harmoni, Pusat Bandar Bagan Serai dalam daerah Kerian.

Bagi tindakan itu, tertuduh yang bekerja sebagai peniaga dalam talian didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a)(ii) Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 dan boleh dihukum di bawah akta sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali dan hendaklah juga didenda selanjutnya RM1,000 setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Mengikut fakta kes, tertuduh telah membuat hantaran tersebut menggunakan akaunnya ‘Saifuddin Shafik@saishafik’ sekitar jam 1.15 petang pada 23 April lepas yang berupa satu respons ke atas video kemalangan helikopter TLDM yang terhempas dan mengorbankan ramai kru semasa raptai perbarisan Sambutan Hari TLDM di Pangkalan TLDM Lumut.

Satu laporan polis telah dibuat ke atas tertuduh pada hari sama kerana merasakan hantaran tersebut sesuatu yang menghina.

Tertuduh yang diwakili Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun dan Amin Othman merayu mahkamah mengenakan hukuman ringan berbentuk denda mengambil kira simptom penyakit ‘bipolar disorder’ yang dihadapi tertuduh sejak 2011 selain perlu menanggung isteri dan kedua ibu bapanya.

Dalam rayuan tersebut juga memohon mahkamah mempertimbangkan bahawa hantaran dibuat tertuduh walaupun jelik tetapi tidak sampai menyentuh perkara 3R iaitu perkauman (race), agama (religion) dan institusi diraja (royalty).

Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Wan Azimah Yaacob bagaimanapun memohon hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat di mana meskipun terdapat kebebasan dalam membuat hantaran dan komen di media sosial, ia perlulah dilakukan secara berkhemah tanpa melukakan hati pihak lain.

Katanya, hukuman setimpal yang diberikan ke atas tertuduh boleh mengekang perkara sedemikian berulang dilakukan oleh pihak yang tidak dapat mengawal emosi dan perasaan.

Selepas mendengar hujah kedua pihak, mahkamah memerintahkan tertuduh membayar denda sebanyak RM23,000 atau penjara tiga bulan jika gagal bayar.

Hakim Nabisha juga mengingatkan kepada tertuduh supaya tidak mengulangi kesilapan dan lebih berhati-hati dalam penggunaan media sosial.

“Satu kesilapan itu tidak boleh diundur,” katanya.

Tertuduh telah membayar denda berkenaan.

Dalam nahas jam 9.32 pagi pada Selasa itu, dua helikopter iaitu Pesawat HOM (M503-3) membawa empat kru dan tiga penumpang dan Pesawat Fennec dinaiki tiga kru terhempas selepas bergesel di udara di Pangkalan TLDM Lumut.

Kejadian itu mengorbankan semua mangsa yang ketika itu sedang menjalani raptai perbarisan Sambutan Hari TLDM ke-90 yang berlangsung Sabtu ini.