Ini kisah Sapok Biki, lelaki Sarawak yang menggemparkan peninju dunia

Ini kisah Sapok Biki, lelaki Sarawak yang menggemparkan peninju dunia

 

Ini kisah Sapok Biki, lelaki Sarawak yang menggemparkan peninju dunia. Nama unik lelaki ini membuatkan lelaki yang berasal dari Sarawak ini begitu diingati.

Namun demikian, terdapat kisah yang menarik yang perlu anda tahu mengenai perjalanannya daripada seorang yang tidak dikenali kepada seorang lagenda sukan tinju negara.

Sapok Biki merupakan bekas atlet tinju tanah air yang telah mengharumkan nama negara. Sekitar tahun 90-an, namanya begitu popular dan sempat meniti di bibir masyarakat Malaysia dek kerana kejayaannya dalam sukan tinju.

Namun demikian, tahukah anda bahawa nama Sapok Biki mula dikenali ramai setelah beliau berjaya meraih pingat emas yang tidak disangka pada Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur?

Ini Kisah Sapok Biki, Peninju Sarawak Yang Menggemparkan Dunia Di Sukan Komanwel 1998

Asal Usul Sapok Biki

Sapok anak Biki atau lebih dikenali sebagai Sapok Biki dilahirkan pada tanggal 9 April 1974 dan berasal dari Kampung Isu Lama, Simunjan, Sarawak.

Beliau sebenarnya merupakan seorang anggota tentera yang berjaya dipilih menjadi atlet negara menerusi program Jaya ’98 yang pada ketika itu dikendalikan oleh Majlis Sukan Negara.

Ini Kisah Sapok Biki, Peninju Sarawak Yang Menggemparkan Dunia Di Sukan Komanwel 1998

Walaupun pernah mewakili negara ke temasya Sukan Olimpik di Atlanta, Georgia 1996 dan Sukan SEA 1995 di Chiang Mai, Thailand, nama Sapok Biki tidak begitu dikenali melainkan dalam kalangan peminat sukan tinju dan peninju-peninju yang terlibat dalam pertandingan sesama mereka.

Pada era itu, Sapok Biki hanya sekadar memenangi pingat perak dalam temasya Sukan SEA 1995. Pada Sukan Olimpik Georgia pula, beliau kecundang di peringkat awal dengan peninju dari Mexico.

Di peringkat Asia Tenggara pula, nama peninju Thailand seperti Somjit Jongjohor (juara Olimpik Beijing 2008) lebih dominan berbanding peninju Malaysia.

Namun, temasya Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998 telah mengubah sejarah hidupnya.

Menerusi acara tinju kategori Light Flyweight 48 kg, Sapok telah menggemparkan dunia dengan menewaskan juara tinju benua Kenya, Moses Kinyua.

Kemenangan tersebut telah menganugerahkan beliau kalungan pingat emas yang pertama buat sukan tinju Malaysia di peringkat antarabangsa.

Sapok bukan pilihan utama kejohanan

Pada awalnya, beliau bukanlah peninju pilihan untuk menjuarai acara tersebut. Malah, saingannya bukan calang-calang kerana melibatkan peninju pilihan dari England iaitu Gary Jones serta peninju dari Kenya, Moses Kinyua.

Moses Kinyua merupakan peninju Kenya yang digeruni kerana beliau telah berjinak dalam arena tersebut seawal usia 15 tahun.

Nama beliau kemudian meningkat naik dan dipilih mewakili Kenya selepas mempamerkan aksi memberangsangkan sepanjang kariernya bersama kelab tinju seperti Kenya Railways, Kenya Posta, Kimbo Boxing Club dan banyak lagi.

Pada tahun 1998, Moses merupakan penyandang 4 kejuaraan benua Afrika sehingga beliau digelar Mohamed Ali versi Kenya.

Ini Kisah Sapok Biki, Peninju Sarawak Yang Menggemparkan Dunia Di Sukan Komanwel 1998

Pada temasya Sukan Komanwel 1998, Sapok mendapat undian bye yang membolehkannya terus mara ke peringkat suku akhir dan menang menentang peninju dari Zambia, Kennedy Kanyata dengan mata 23-6.

Kemudian, di peringkat separuh akhir, barulah beliau bertemu dengan peninju pilihan yang dijangka akan menentang Moses di peringkat akhir iaitu Gary Jones.

Gary Jones diramal akan menempah tiket ke perlawanan akhir menentang Moses. Namun, Sapok tampil memberi kejutan apabila atlet England tersebut berjaya dikalahkan olehnya dengan mata 15-11.

Tak mahu tonton video lawan untuk elak psikologi terganggu

Perlawanan akhir antara Moses dan Sapok begitu ditunggu-tunggu oleh seisi rakyat Malaysia pada ketika itu. Mana tidaknya, anak Sarawak ini bakal berdepan dengan johan 4 kejuaraan di Afrika.

Berbekalkan gelombang dan momentum yang cemerlang dari Sapok dan kontinjen Malaysia pada ketika itu, rakyat Malaysia mengharap agar Sapok dapat mencipta kejutan sekali lagi.

Stadium Malawati Shah Alam dibanjiri dengan rakyat Malaysia yang tidak putus-putus memekik nama Sapok bagi memberinya semangat.

Sapok pula, sebelum menghadapi perlawanan akhir menentang Moses, telah memanfaatkan sepenuhnya masa yang ada dengan memfokuskan latihan kepada taktik-taktik tinju yang dipelajarinya sepanjang latihan di Thailand sebelum temasya berlangsung.

Sapok dibimbing oleh jurulatihnya, Adun Pasu. Hati Sapok pada waktu itu tentunya gemuruh namun beliau tidak mahu terlalu memikirkan perasaan gemuruh lebih daripada fokusnya terhadap strategi perlawanan dan serangan.

Bagi mengelakkan keadaan mental dan psikologinya terganggu, Sapok meminta kepada jurulatihnya agar beliau tidak dipertontonkan dengan video perlawanan Moses sebelum ini.

Adun Pasu menghormati permintaan tersebut. Sapok berehat selama sehari sebelum kembali ke gelanggang menentang lawan yang digelar sebagai Mohamad Ali versi Kenya keesokan harinya.

Moses terkejut dengan kelincahan Sapok

Tiba pada hari perlawanan, Sapok Biki melangkah ke dalam gelanggang dengan penuh keyakinan. Sebaik sahaja perlawanan bermula, Sapok memulakan gerak lincahnya sehingga membuatkan Moses terkejut dengan gerakan Sapok.

Kelebihan yang dimiliki oleh Sapok adalah gerakan tangannya yang laju dan membolehkan beliau melakukan tumbukan counter-punch dengan sepantas kilat.

Ini Kisah Sapok Biki, Peninju Sarawak Yang Menggemparkan Dunia Di Sukan Komanwel 1998

Langkah Moses diperhati oleh Sapok pada awal pertarungan bagi mengenalpasti kelemahan dan kebolehan lawannya itu. Kemudian, barulah Sapok mengatur gerak serangan dan diserang pada saat yang tepat dan kemas bagi meraih mata.

Sapok begitu tekad dan fokus kerana sepanjang perlawanan tersebut, beliau mengelak daripada melakukan kesilapan.

Berbaki beberapa saat sebelum tamat pusingan ke-5, Sapok sudah mengangkat tangan dan yakin bahawa beliau adalah pemenang pertarungan tersebut.

Pengadil perlawanan memegang tangan Moses dan Sapok sebaik sahaja tamat pusingan itu. Tangan Sapok serta merta diangkat oleh pengadil bagi menandakan kemenangan diperoleh oleh anak Iban Sarawak itu dengan kiraan mata 16-11.

Pingat emas pertama dalam sejarah sukan tinju Malaysia

Bergegar satu stadium ketika itu apabila Sapok berjaya meraih pingat emas pertama dalam sejarah sukan tinju Malaysia sejak negara menyertai Sukan Komanwel pada tahun 1930.

Beliau nyata tidak dapat menggambarkan perasaannya pada ketika itu. Pingat emas yang dimenangi Sapok adalah pingat emas yang ke-7 buat kontinjen negara dan telah melengkapkan sasaran pingat emas Malaysia iaitu sebanyak 10 pingat emas.

Nama Sapok telah menjadi bualan orang ramai di Malaysia walau di mana sahaja mereka berada. Bahkan, kejayaan ini merupakan sesuatu yang tidak pernah tercapai dek akal mana-mana rakyat Malaysia pada ketika itu.

Ini Kisah Sapok Biki, Peninju Sarawak Yang Menggemparkan Dunia Di Sukan Komanwel 1998

Ini Kisah Sapok Biki, Peninju Sarawak Yang Menggemparkan Dunia Di Sukan Komanwel 1998

Penduduk dari 8 buah kampung di Simunjan rai kejayaan, Sapok dinaikkan pangkat

Tamat saingan temasya, Sapok disambut umpama pahlawan di kampung halamannya di Kampung Isu Lama Simunjan iaitu kira-kira 100 km dari Bandaraya Kuching.

Seramai 1,000 penduduk dari 8 kampung berdekatan berkumpul selama beberapa jam semata-mata untuk beramah mesra dengan hero Iban mereka dan meraikan kejayaan Sapok sepanjang malam.

Ini Kisah Sapok Biki, Peninju Sarawak Yang Menggemparkan Dunia Di Sukan Komanwel 1998

Atas kejayaan Sapok ini juga, beliau yang sememangnya berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia telah diberikan kenaikan pangkat berganda dari jawatan Lans Koperal kepada Sarjan tidak lama selepas itu.

Kini, beliau telah bersara daripada tentera dengan jawatan Mejar dan menjadi jurulatih tinju untuk kontinjen atlet muda Sarawak.

Ini Kisah Sapok Biki, Peninju Sarawak Yang Menggemparkan Dunia Di Sukan Komanwel 1998

Kejayaan Sapok ini juga telah mengubah sejarah sukan tinju negara. Orang ramai mula memberi perhatian kepada sukan tinju yang selama ini dipandang sepi kerana tidak pernah mendatangkan sebarang pingat.

Pingat emas yang dimenangi Sapok ini juga adalah pencapaian terbaik tinju negara sehingga ke hari ini.

Sumber: I Love Borneo