“Kami berdiri teguh menentang genosid” – Diancam boikot, ZUS Coffee akhirnya bersuara isu Palestin
Netizen telah mula cancel Zus Coffee dan mengucapkan selamat tinggal buat jenama kopi tempatan itu susulan kolaborasinya bersama Adidas, salah satu jenama yang sedang diboikot sekarang.
Menerusi tinjauan di X, rata-rata netizen berkata Zus Coffee menjadi pilihan kerana mereka tidak mahu membeli dari jenama kopi yang memberikan sokongan kepada Israel.
Zus tak sedar diri. Orang pilih kau sebab boikot stabak dan support local. Tunggu la giliran kau pulak cawangan ditutup nanti. 😂
— Alkisah (@Firdaus_Rakbi) May 16, 2024
Walaupun Zus Coffee telah membuat permohonan maaf namun warga maya menyifatkan permohonan tersebut tidak ikhlas kerana jenama kopi tempatan itu tidak menyelitkan konflik yang sedang berlaku di Timur Tengah.
Sementara itu, ramai warganet mengucapkan selamat tinggal kepada Zus Coffee bukan hanya kerana kolaborasi tersebut namun juga kerana permohonan maaf yang dianggap tidak ikhlas.
Dalam pada itu, ada juga warganet yang mempersoalkan mengapa Zus Coffee memilih untuk tidak menyuarakan sokongan mereka terhadap Palestin sedangkan buat masa sekarang pasaran mereka hanya di Malaysia.
Tidak cukup dengan itu, ramai juga yang membuat hantaran bertanyakan jenama kopi tempatan lain yang boleh dijadikan pilihan selain daripada Zus Coffee.
Baru-baru ini, Zus Coffee telah membuat satu hantaran di Instagram mengumumkan kerjasama antara jenama kopi itu dengan Adidas dalam satu acara fesyen bagi barangan sukan.
Disebabkan kerjasama itu, Zus Coffee menerima kecaman hebat daripada netizen disamping mengancam untuk memasukkan jenama kopi itu dalam senarai untuk diboikot.
Bye bye Zus Coffee pic.twitter.com/Gs7IFpuYd4
— 🇵🇸 𝙈 𝙇 𝙃 𝙆 🍉 (@luqmanhkm_14) May 15, 2024
Bagaimanapun, selepas menerima kecaman daripada warga maya pihak Zus Coffee telah memadam hantaran tersebut namun netizen telah membuat tangkap layar perkongsian itu.
Dalam satu kenyataan terbaharu yang dikeluarkan oleh mereka di laman X (@ZUSCoffee), syarikat minuman tempatan itu mengakui kekhilafan mereka dalam menyatakan pendirian melibatkan isu genosid yang sedang berlaku di Palestin.
ZUS Coffee menyatakan bahawa mereka menentang isu pembunuhan beramai-ramai yang berlaku kepada masyarakat Palestin dan menyokong pembebasan negara berkenaan.
ZUS Coffee berdiri teguh menentang genosid, menyokong perjuangan untuk kebebasan Palestin. Selaras dengan nilai-nilai yang dikongsi bersama, kami menegaskan kembali komitmen terhadap prinsip-prinsip ini.
ZUS Coffee.
Dalam pada itu, ZUS Coffee juga akan memastikan agar lebih berhati-hati dalam membuat setiap keputusan bagi menzahirkan nilai-nilai mereka sebagai jenama kopi tempatan.
Kami berjanji untuk lebih berwaspada dalam membuat keputusan di masa hadapan, memastikan ia sentiasa mencerminkan nilai-nilai kami sebagai jenama tempatan Malaysia.
ZUS Coffee.
— ZUS Coffee® (@ZUSCoffee) May 17, 2024
Mengakhiri kenyataan tersebut, ZUS Coffee berterima kasih kepada masyarakat atas kesabaran mereka dan sokongan yang diberikan untuk membolehkan syarikat ini terus berkembang maju.
Kenyataan yang baru dikeluarkan oleh ZUS Coffee pada pagi hari ini (17 Mei) telah menerima banyak reaksi positif dari netizen di media sosial selepas ramai pelanggan meluahkan rasa kecewa dengan pendirian syarikat terbabit sebelum ini tentang Palestin.
Netizen turut memberi pujian dan berterima kasih kepada pihak jenama itu kerana bertindak pantas dalam memperbetulkan kesilapan dalam tempoh kurang daripada 24 jam.
“Kan senang begitu, terima kasih banyak-banyak. Ya betul, itu adalah genosid, bukan perang, bukan konflik,” ujar netizen.
Malah, ada yang meminta agar kesilapan sama tida berulang lagi daripada ZUS Coffee.
Terdahulu, ZUS Coffee yang melakukan aktiviti pertandingan hadiah (giveaway) kasut Gazelle oleh Adidas di laman media sosial mereka telah mendapat reaksi kurang senang daripada orang ramai.
Ini kerana jenama sukan terkenal itu dipercayai terlibat dalam memberikan sumbangan kepada Israel dalam isu genosid yang sedang berlaku di Palestin.
Sebagai respon, syarikat terbabit kemudiannya mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak mengaitkan diri dengan peperangan dan menolak tindakan kekerasan terhadap kemanusiaan.
“ZUS Coffee tidak akan dengan sengaja mengaitkan diri kami dengan peperangan dan secara tegas menolak sebarang tindakan kekerasan terhadap kemanusiaan,” katanya dalam kenyataan itu.
Perkara ini dilihat oleh netizen sebagai tidak menyokong sebarang pihak dalam peperangan tersebut, termasuklah Palestin.