Dua anggota polis maut, seorang cedera parah diserang lelaki bertopeng

Dua anggota polis maut, seorang cedera parah diserang lelaki bertopeng

 

Dua anggota polis disahkan maut manakala seorang cedera, dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor awal pagi tadi.

Ketua Polis Johor Komisioner M Kumar yang mengesahkan perkara itu berkata insiden pada 2.54 pagi itu, melibatkan suspek yang berpakaian gelap dan bertopeng dengan bersenjatakan pistol dan parang, lapor Harian Metro.

Dalam kekecohan yang berlaku pada awal pagi itu, seorang polis dilaporkan ditembak manakala seorang lagi ditetak oleh suspek yang menceroboh masuk ke dalam balai dengan bersenjatakan parang.

Suspek juga dikatakan merampas dua senjata serta melepaskan dua das tembakan terhadap seorang anggota yang bertugas menyebabkan kecederaan di bahagian bahu serta perut.

Difahamkan, mangsa dikenali sebagai Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, dipercayai meninggal dunia kerana ditetak di bahagian belakang leher dan kepala.

Seorang lagi anggota polis berpangkat konstabel, Muhamad Syafiq Ahmad dipercayai maut kerana ditembak di bahagian perut dan lengan.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, berpangkat koperal yang ditembak suspek kini dilaporkan berada di zon merah di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor.

Menurut laporan, suspek telah ditembak mati dan dua senjata iaitu sepucuk pistol jenis Walther P99 dan selaras HK MP5 telah dirampas daripada pihak penyerang.

“Pihak kita sesal dengan kejadian yang berlaku. Siasatan awal mendapati anggota ditetak dan ditembak.

“Siasatan lanjut dijalankan polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razaruddin Husain dikatakan sedang dalam perjalanan ke lokasi kejadian.