#Blockout2024: “Tak perlu sampai tahap maki hamun, tegur biar beradab” – Siti Nurhaliza

#Blockout2024: “Tak perlu sampai tahap maki hamun, tegur biar beradab” – Siti Nurhaliza

 

“Tak baguslah sampai tahap maki hamun. Nak tegur atau marah mesti ikut adab. Tak perlu sampai memalukan orang,” kata penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza, ketika diminta mengulas tindakan segelintir individu yang menyokong gerakan Blockout 2024 yang meninggalkan komen berbaur ugutan dan maki hamun di laman sosial selebriti.

Siti atau nama sebenar Siti Nurhaliza Tarudin, 45, berkata, dia juga menasihatkan individu yang menyokong gerakan Blockout 2024 supaya menjaga adab dan membuat teguran secara berhemah di media sosial.

“Saya faham mungkin mereka (individu terbabit) ingin mempertahankan agama tetapi ia boleh dilakukan dengan cara lebih berhemah.

“Kita kena lihat kembali apa yang agama ajar, nak tegur atau marah mesti ikut adab.

“Kalau nak pertahankan agama kenalah ikut cara agama, kalau tak suka lebih baik diam,” kata Siti menurut laporan Harian Metro.

Mengenai isu gerakan Blockout 2024 yang membabitkan ramai selebriti popular tempatan pula, Siti enggan mengulas lanjut.

Katanya, dia percaya mereka (selebriti terbabit) ada alasan tersendiri untuk kurang memuat naik mengenai kisah pergolakan di Palestin di media sosial masing-masing.

“Saya dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, sudah memainkan peranan mengenai isu Palestin menerusi Yayasan Nurjiwa sebelum serangan Israel di Gaza pada 7 Oktober tahun lalu.

“Malah, Sekolah Afwa Al Aafiyah sudah ditubuhkan sebelum itu lagi. Ini adalah fisabilillah dan usaha kami untuk agama islam.

“Pada masa sama, kita juga dituntut untuk mempertahankan agama dan saudara seagama yang ditindas dengan kejam di Palestin,” katanya.

Terdahulu, Gerakan Blockout 2024 dimulakan pada 6 Mei serentak dengan penganjuran majlis Met Gala 2024 sekali gus hari yang sama di mana bumi Palestin diserang Israel.

Gerakan itu menamakan senarai selebriti yang didakwa menyokong produk jenama pro-Israel dan tidak bersuara mengenai situasi yang berlaku.

Seramai 20 selebriti terkenal tanah air turut dinamakan dalam gerakan berkenaan iaitu Nadhir Nasar, Nabila Razali, Mira Filzah, Siti Saleha, Neelofa, Daiyan Trisya, Scha Alyahya, Awal Ashaari dan ramai lagi.