Agong boleh pecat Mahiaddin jika gagal adakan sidang Parlimen segera, kata Pakar Perlembagaan

Agong boleh pecat Mahiaddin jika gagal adakan sidang Parlimen segera, kata Pakar Perlembagaan

JIKA Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin enggan melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong supaya sidang Parlimen diadakan secepat mungkin, beliau perlu disingkirkan atau dipaksa undur diri.

Pakar Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari, berkata satu-satunya autoriti yang boleh menyingkirkan Perdana Menteri jika Parlimen gagal berfungsi adalah Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya, dalam sistem Demokrasi Berparlimen, kerajaan dibentuk atas dasar majoriti dalam Parlimen dan kerajaan bertanggungjawab menjawab persoalan rakyat di dalam Parlimen

“Ini bermakna Perdana Menteri wajib menjawab di Parlimen dan kalau majoritinya hilang atau tidak cukup, beliau kena letak jawatan.

“Jika beliau enggan mengadakan sidang Parlimen beliau perlu disingkirkan atau dipaksa undur diri dan satu-satunya autoriti yang boleh berbuat demikian adalah Yang di-Pertuan Agong,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost, hari ini.

Beliau mengulas mengenai titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menzahirkan pandangan supaya Parlimen perlu bersidang secepat mungkin selepas mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara, semalam.

Abdul Aziz yang juga Naib Pengerusi DAP Perak dan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, berkata jika Parlimen tidak dapat bersidang, maka perlu ada seseorang yang bertindak membetulkan keadaan.

“Perlu ada seseorang yang membersihkan ‘longkang yang tersumbat ini bagi membolehkan air mengalir dengan lancar’.

“Maka Agong boleh melakukannya, kerana dari segi teorinya Baginda adalah penjaga Perlembagaan dan dalam konteks di Malaysia ada Majlis Raja-Raja Melayu yang berperanan melantik atau boleh memecat Agong,” katanya.

Beliau berkata, ia bukan soal melampaui kuasa dan sebagainya, tetapi krisis Covid-19 semakin kritikal hingga sampai ke peringkat rakyat ‘tidak boleh bernafas’, maka pendekatan luar biasa perlu digunakan.

“Keadaan ini tidak pernah berlaku, namun dengan Malaysia baharu sekarang ini rakyat mendapat maklumat melalui teknologi dan tahu hak mereka.

“Sistem politik negara juga sudah berubah di mana berbanding dahulu hanya Barisan Nasional (BN) yang mempunyai majoriti untuk menentukan atau membuat keputusan, namun kini politik lebih terbuka kepada semua dan ia bagus untuk demokrasi tetapi jika tidak dilaksanakan dengan matang ia akan berserabut seperti yang berlaku ketika ini.

“Maka dalam keadaan seperti itu ketua negara perlu melakukan sesuatu dan mengambil langkah drastik untuk memastikan proses pentadbiran negara kembali normal,” katanya.

Sumber: Malaysiapost