“Tak elok saya ambil berlakon kerana isu yang..” – A Aida blacklist Ruhainies shooting dalam produksinya

“Tak elok saya ambil berlakon kerana isu yang..” – A Aida blacklist Ruhainies shooting dalam produksinya

 

Susulan isu kontroversi yang membabitkan dua selebriti, penerbit terkenal Datuk A Aida mengambil keputusan tidak mengambil pelakon wanita tersebut dalam produksi miliknya.

Tindakan tersebut katanya bagi memberikan pengajaran kepada artis lain.

“Saya tidak mahu ambil Ruhainies berlakon dalam produksi lagi selepas ini.

“Saya tidak mahu isu dirinya didakwa ditangkap berkhalwat dengan pelakon Aliff Aziz itu memberi kesan kepada drama atau telemovie terbitan produksi,” katanya.

Menurut A Aida, Ruhainies sepatutnya terbabit dengan penggambaran telefilem berjudul Elham Untuk Nian terbitan produksinya untuk Salam HD @unifitv pada April nanti.

“Pihak produksi juga sudah tetapkan tarikh untuk penggambaran tetapi dia (Ruhainies) belum tanda tangan kontrak.

“Bagi saya isu yang dikaitkan dengannya itu serius dan dia terpaksa akur namanya terpaksa digantikan dengan pelakon lain.

“Bukan Ruhainies sahaja, mana-mana artis yang bermasalah, saya akan ‘blacklist’,”katanya.

Bella Astillah sebagai pengganti

Dalam pada itu A Aida memaklumkan artis yang akan menggantikan Ruhainies dalam lakonan berkenaan adalah Bella Astillah.

“Saya juga mahu menjaga hubungan baik dengan Bella.

“Saya pun baik dengan Bella dan tidak elok jika saya ambil Ruhainies berlakon kerana isu yang berlaku membabitkan mereka,” katanya.

Hantaran A Aida dalam jaringan TikTok menarik perhatian ramai apabila dia menyatakan luahan kecewa dengan kontroversi yang berlaku.

“Sebak bila mengenangkan nasib artisku yang tidak putus-putus diberi ujian. Dan yang paling ku geram, artis yang sekor tu takda orang lain ke nak mengorat, sorry artis yang pernah menjadi kesayanganku, tidak akan ada peluang lagi untukmu,” tulisnya.