Dua lelaki dalam video tular amuk pecahkan cermin kereta ditahan

Dua lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan berkaitan video tular kejadian seorang lelaki memecahkan cermin kereta di Crystal Greek Residense di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, susulan video bertajuk ‘A dog died after being run over so the owner decided to take revenge’ berdurasi satu minit 40 saat itu tular, pihaknya menjalankan siasatan dan membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 427 dan 323 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, pihaknya dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping menahan dua lelaki berusia 29 dan 44 tahun bagi membantu siasatan pada 12.55 tengah hari ini.
“Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.
Video yang tular itu menunjukkan seorang lelaki memecahkan cermin sebuah kereta menggunakan sebatang besi kerana dikatakan pemandu kenderaan terbabit melanggar anjing peliharaannya hingga mati.