8 anggota FRU maut kemalangan di Teluk Intan, AMANAH Perak rakam takziah

8 anggota FRU maut kemalangan di Teluk Intan, AMANAH Perak rakam takziah
Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Perak merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa tragedi kemalangan maut yang mengorbankan lapan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dalam kejadian di Jalan Chikus–Sungai Lampam pagi tadi.
Menurut laporan, insiden itu berlaku apabila trak yang dinaiki anggota FRU bertembung dengan sebuah lori muatan batu kerikil. Kesemua anggota terlibat difahamkan dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai menjalankan tugas kawalan sempena sambutan Hari Wesak.
Pengerusi AMANAH Negeri Perak, Dato’ Asmuni Awi dalam satu kenyataan media menyifatkan kejadian itu sebagai satu tragedi besar yang bukan sahaja menyedihkan keluarga mangsa, malah seluruh rakyat Malaysia.
“Negara sedang berduka, dan AMANAH Negeri Perak turut merasai kesedihan yang mendalam kerana insiden ini berlaku di bumi Perak. Ia adalah kehilangan besar buat pasukan keselamatan negara,” ujar beliau.
Asmuni turut merakamkan penghargaan kepada para anggota keselamatan atas komitmen mereka menjaga keamanan negara dan menyeru agar siasatan menyeluruh dilakukan bagi mengenal pasti punca kejadian serta menambah baik aspek keselamatan pengangkutan anggota keselamatan di masa akan datang.
Dalam pada itu, beliau turut mendoakan agar anggota yang cedera segera sembuh dan seluruh ahli keluarga diberikan ketabahan dalam menghadapi dugaan ini.
Kemalangan tersebut merupakan antara insiden paling buruk membabitkan anggota pasukan keselamatan di Perak dalam beberapa tahun kebelakangan ini.