Tragedi hitam kemalangan FRU berulang kembali setelah 35 tahun

Tragedi hitam kemalangan FRU berulang kembali setelah 35 tahun
Selepas lebih tiga dekad, negara sekali lagi dikejutkan dengan insiden menyayat hati membabitkan kemalangan maut melibatkan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), yang menggamit semula ingatan terhadap tragedi hitam di Lebuhraya Karak pada tahun 1990.
Dalam kejadian terbaharu yang berlaku pagi tadi, seramai lapan anggota FRU dilaporkan maut selepas kenderaan yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori muatan batu di Jalan Chikus–Sungai Lampam, di sini.
Difahamkan, kenderaan yang membawa 15 penumpang termasuk pemandu itu dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai melaksanakan tugas di bawah Op Chariot di Teluk Intan.
Insiden tragis ini secara tidak langsung membuka semula lembaran duka tragedi di Lebuhraya Karak pada 28 Februari 1990 yang telah meragut 11 nyawa anggota FRU daripada Trup 4B, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur.
Ketika itu, trak yang membawa anggota terbabit dirempuh oleh sebuah bas ekspres yang hilang kawalan akibat kegagalan sistem brek ketika menuruni cerun.
Nahas tersebut mengorbankan 15 nyawa, termasuk empat orang awam.

Gambar tragedi kemalangan menyayatkan hati melibatkan 11 anggota FRU maut di Lebuh Raya Karak pada 28 Februari 1990.
Siasatan mendapati rempuhan kuat menyebabkan trak FRU terperosok di bawah bas sebelum dihentam pula oleh sebuah lori tangki minyak yang cuba mengelak perlanggaran.
Lima anggota FRU maut di lokasi kejadian, manakala enam lagi meninggal dunia di hospital ketika menerima rawatan.
Nama-nama mereka kekal terpahat dalam sejarah sebagai wira negara yang gugur dalam perkhidmatan.
Insiden yang berulang ini mengundang persoalan mengenai tahap keselamatan pengangkutan anggota keselamatan negara, khususnya ketika pergerakan dalam kumpulan besar.
Pihak berkuasa disaran menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) pergerakan kenderaan pasukan keselamatan, termasuk pemeriksaan kondisi kenderaan, pemilihan laluan berisiko tinggi, dan aspek latihan pemanduan defensif.
Dalam pada itu, masyarakat diseru agar mendoakan keselamatan dan ketabahan keluarga mangsa yang terkorban demi tanah air.
“Tragedi mungkin tidak dapat dielakkan, tetapi pengajaran daripadanya wajib diambil kira agar nyawa tidak terus menjadi korban di jalan raya.”