“Bukan kita jumpa YDPA ramai ramai ke?” – Azalina ‘kantoikan’ Rashid Hasnon

“Bukan kita jumpa YDPA ramai ramai ke?” – Azalina ‘kantoikan’ Rashid Hasnon

 

Kenyataan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon bahawa hanya Perdana Menteri bertanggungjawab melaporkan kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai urusan hal ehwal Parlimen dipersoal rakan sejawatnya.

Azalina Othman Said mengingatkan Rashid mengenai pertemuan mereka dengan Agong pada 29 Jun lalu.

“YB (Rashid) bukan kita jumpa YDPA (Yang di-Pertuan Agong) ramai-ramai pada 29 Jun 2021 ke?,” soal Azalina dalam ciapannya di Twitter, yang turut disertai gambar pertemuan berkenaan.

Turut kelihatan dalam gambar berkenaan adalah Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun, Presiden Dewan Negara Rais Yatim dan Timbalannya, Senator Mohamad Ali Mohamad.

Terdahulu, Rashid dipetik sebuah portal berita berkata, tanggungjawab melaporkan semua hal urusan Parlimen terletak pada Perdana Menteri, bukan Speaker Dewan Rakyat.

“Tidak ada ‘precedent’ (kes duluan) di mana Agong akan berkomunikasi secara langsung dengan Speaker mengenai hal ehwal Parlimen,” kata Rashid seperti dipetik sebuah portal.

Semalam, FMT melaporkan Istana Negara meminta pengesahan daripada Speaker Dewan Rakyat berhubung majoriti Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Parlimen.

Menurut sumber yang enggan mendedahkan identitinya itu, Istana sudah menulis surat kepada Azhar pada 9 Ogos untuk mendapatkan maklumat terkini bilangan Ahli Parlimen yang menyokong Muhyiddin.

“Surat bertarikh 9 Ogos 2021, salinannya kepada kita berdua, dah baca ke belum @hjrashidjohor?” soal Azalina.

Sumber: FMT & Azalina Othman Said