Cederakan 3 individu & lakukan khianat, Norjuma didakwa atas lima pertuduhan

Cederakan 3 individu & lakukan khianat, Norjuma didakwa atas lima pertuduhan

 

Usahawan selebriti, Norjuma didakwa di empat Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur atas lima pertuduhan mencederakan tiga individu dan melakukan khianat pada Selasa.

Memetik laporan Kosmo, Norjuma atau nama sebenarnya Norjuma Hadid Mohamed mengaku tidak bersalah selepas lima pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Illi Marisqa Khalizan, Amira Abd. Aziz, Fatin Dayana Jalil dan Noor Elynna Hanim Abd. Halim.

Bagi tiga pertuduhan mendatangkan kecederaan, usahawan berusia 44 tahun itu didakwa mencederakan seorang pengawal lelaki warga Nepal, Neupane Tika Ram dengan menendangnya di bahagian betis kiri.

Selain itu, Norjuma juga didakwa mencederakan dengan sengaja seorang lelaki, Mohd. Afiq Ismail pada 21 Februari 2017 di sebuah premis perniagaan.

Pada masa yang sama, bekas selebriti itu juga didakwa menampar pipi dan mencakar tangan Nur Solehah Rosli pada 18 Oktober 2021 di sebuah kondominium di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Ketiga-tiga pertuduhan mendatangkan kecederaan itu dikemukakan mengikut Sesyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-dua sekali.

Norjuma juga didakwa atas dua pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan palang keluar masuk dan kemera litar tertutup (CCTV) milik sebuah kondominium.

Dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Mahkamah membenarkan Norjuma diikat jamin RM6,500 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin warga tempatan disamping diperintahkan agar tidak menganggu atau menghubungi mangsa.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan-timbalan Pendakwa Raya Harvind Raja Gopal, Hamizah Hisan dan Vivian Yeap Jie Xi manakala Norjuma pula diwakili peguam Izzat Amir.

Sekadar info, Mahkamah menetapkan 27 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.