“5 minit kemudian dia tak sedarkan diri” – Berlari selamatkan mangsa, saksi kejadian kongsi detik cemas insiden pokok tumbang

“5 minit kemudian dia tak sedarkan diri” – Berlari selamatkan mangsa, saksi kejadian kongsi detik cemas insiden pokok tumbang

 

“Saya berlari untuk selamatkan mangsa yang dihempap pokok, tetapi tidak lama kemudian dia tidak sedarkan diri,” kata saksi kejadian pokok tumbang, Muhammad Tariq Haikal, 24.

Menurut ejen hartanah itu, ketika kejadian dia berada di bangunan berhampiran lokasi sebelum berlari keluar untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa.

“Saya cuba untuk menyelamatkan mangsa daripada terus dihempap dahan pokok, namun gagal kerana terlalu berat.

“Kejadian berlaku begitu pantas, saya lihat mangsa masih hidup ketika itu, tetapi kira-kira lima minit kemudian dia tidak sedarkan diri,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, seorang lagi saksi, Adey Iskandar Jalaluddin, 40-an, berkata, dia mendengar dentuman yang kuat sebelum melihat sebatang pokok tumbang menghempap beberapa kenderaan.

Saksi Kejadian Berlari Selamatkan Mangsa Dihempap Pokok,-“Tidak Lama Kemudian Dia Tidak Sedarkan Diri”

Pegawai bank itu berkata, ketika kejadian dia berada di dalam pejabat berhampiran lokasi. Terkejut dengan kejadian itu, katanya, dia segera keluar dari bangunan pejabat untuk ke lokasi dan melihat orang awam sedang membantu mengeluarkan beberapa mangsa di bawah pokok.

“Pokok itu tumbang di laluan utama dan ketika itu difahamkan kereta sedang berhenti kerana lampu isyarat merah,” ujarnya.

Pokok yang tumbang di Jalan Sultan Ismail dikenal pasti sudah berusia lebih 50 tahun. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, pemeriksaan pokok-pokok di Kuala Lumpur dilakukan secara kerap oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan pemantauan dibuat dua tahun sekali.

“Pokok yang tumbang hari ini kita kesan merupakan pokok lama berusia lebih 50 tahun yang berada di bawah pemantauan pihak swasta.

“Kita juga telah mengenal pasti banyak pokok berusia sekitar 50 sehingga 80 tahun di ibu negara yang mana pokok-pokok ini hanya menunggu masa untuk tumbang lebih-lebih lagi keadaan cuaca yang tidak menentu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Saksi Kejadian Berlari Selamatkan Mangsa Dihempap Pokok,-“Tidak Lama Kemudian Dia Tidak Sedarkan Diri”

Beliau berkata, DBKL juga akan melihat garis panduan yang perlu diambil agar memastikan pokok-pokok sudah tua ini diambil bagi keselamatan orang awam.

Katanya, pemantauan akan dilakukan bagi mengesan berapa banyak pokok tua yang ada di ibu negara.

“Data berapa banyak pokok tua kita tidak ada buat masa ini, tetapi pemantauan akan dilakukan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, perbincangan masih dilakukan berhubung pemberian pampasan kepada mangsa-mangsa terlibat.

“DBKL kebiasaan akan ambil tindakan dalam mengenal pasti profil mangsa dan sebagainya,” katanya.

Tambah Dr Zaliha, kerja-kerja pembersihan di kawasan kejadian dijangka selesai selewat-lewatnya malam ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang, pokok tumbang itu menyebabkan seorang lelaki tempatan meninggal dunia, manakala dua lagi mangsa dilaporkan cedera. Kesemua mangsa telah dibawa ke hospital Kuala Lumpur.

Dua mangsa yang dilaporkan cedera dalam kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail dipercayai pemandu e-hailing dan penumpang warga Sweden.

Saksi Kejadian Berlari Selamatkan Mangsa Dihempap Pokok,-“Tidak Lama Kemudian Dia Tidak Sedarkan Diri”

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintenden Nazron Abd Yusof berkata, insiden kira-kira jam 2 petang itu melibatkan 17 kenderaan pelbagai jenis yang dihempap pokok terbabit.

Operasi di lokasi kejadian turut melibatkan kekuatan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).