Sarjan Faridah anggota MALBATT meninggal dunia dalam misi UNIFIL di Lubnan

Sarjan Faridah anggota MALBATT meninggal dunia dalam misi UNIFIL di Lubnan

 

Sarjan Faridah anggota Malbatt meninggal dunia dalam misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL)  di Lubnan semalam pada jam 2.25 pagi waktu tempatan atau 7.25 pagi waktu Malaysia.

Menurut Markas Angkatan Tentera Malaysia (MK ATM), Sarjan Faridah Abd. Rahman merupakan Pegawai Tidak Tauliah Kanan (PTK) Pasukan Pengaman Batalion Malaysia (Malbatt) 850 siri 11 disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Allahyarhamah Sarjan Faridah bertugas sebagai Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam MALBATT 850 Siri 11 di Kem Marakah dilaporkan rebah setelah turun dari bas di kem berkenaan.

“Allahyarhamah pada ketika itu baru pulang ke Lubnan setelah selesai bercuti di Malaysia,” kata kenyataan.

Jenazah Allahyarmah akan dihantar ke Hospital Hammoud, Saida untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Proses bedah siasat tersebut akan dilaksanakan pada 19 Mei 2024 (Ahad) pada jam 10.30 oagi waktu Lubnan (3.30 petang waktu Malaysia).

“Allahyarhamah berusia 39 tahun dan berasal dari Pendang, Kedah. Allahyarham mula memasuki perkhidmatan ATM dengan menyertai Tentera Darat semenjak 2007 dan ditugaskan di dalam Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT). 

“Allahyarhamah sebelum ini bertugas sebagai Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam di Batalion Ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja (MEKANIZE), Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani, Kedah sebelum di atur gerak menyertai Misi MALBATT 850-11 UNIFIL,” kata kenyataan itu lagi.

Maklum MK ATM, Faridah meninggalkan empat orang cahaya mata iaitu tiga anak perempuan dan seorang anak lelaki berusia antara empat hingga 10 tahun.

“Markas Angkatan Bersama (MK AB) yang berperanan menyelaraskan semua keperluan operasi dan misi ATM di luar negara termasuk atur gerak MALBATT 850-11 bagi Misi UNIFIL akan menguruskan proses penghantaran pulang jenazah Allahyarhamah ke Malaysia.

MK ATM berkata, sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan.