Pengerusi SEC beri amaran, pasaran Kripto akan runtuh sama seperti LUNA & UST

Pengerusi SEC beri amaran, pasaran Kripto akan runtuh sama seperti LUNA & UST

 

Pengerusi Securities and Exchange Commission (SEC) Amerika Syarikat (AS), Gary Gensler tidak teragak-agak mendakwa lebih banyak mata wang kripto akan menerima nasib sama seperti Terra (LUNA) dan TerraUSD (UST).

Kebetulan pendapatnya itu terkait dengan pasaran kripto yang sedang bergelora sejak minggu lalu, mengundang kebimbangan dalam kalangan pelabur amatur.

Sejak pengumuman kenaikan kadar faedah pada 5 Mei, pergerakan Bitcoin (BTC) dan seluruh pasaran kripto bertambah buruk.

Berdasarkan nilai semasa seunit BTC, $30,194.48, raja kripto ini telah susut lebih 24% sejak dua minggu lalu dan lebih 56% dari rekod tertinggi sepanjang masa (ATH), $68,789.63 pada 10 November 2021.

Tetapi LUNA lebih parah dengan penyusutan 100% dari $88 (5 Mei) kepada nilai $0.000144089 ketika artikel ini ditulis.

Manakala UST yang dipercayai punca keruntuhan LUNA sudah kehilangan nilainya bersandarkan pada dolar AS, didagangkan pada $0.09.

Disebabkan insiden mengejut ini, Gensler berpesan kepada para pelabur untuk bersedia dengan penyusutan harga koin dan token kripto lain ke paras sifar: “Lebih ramai akan rugi.”

Ini juga menunjukkan SEC semakin mara dengan pelan pemantauan yang lebih ketat ke atas platform kripto, dan memastikan kesemua pihak yang menawarkan perdagangan kripto berdaftar dengan mereka.

Hanya dengan cara ini Gensler yakin pelabur akan lebih selamat dari sebarang risiko.

Tidak hairanlah mengapa SEC pada masa yang sama sedang ‘mencari’ staf baru yang merangkumi barisan peguam, penganalisis penipuan, pemantau, dan peguam perbicaraan untuk mengukuhkan lagi unit kripto di agensi itu.

Pada masa yang sama, unit kripto SEC ini berjaya menyelesaikan lebih 80 kes berkaitan aktiviti penipuan mata wang kripto yang menyebabkan kerugian pelabur sehingga $2 bilion.