Jatuh di bawah 0.002 Dollar, matawang Kripto Luna kini hampir tidak bernilai

Jatuh di bawah 0.002 Dollar, matawang Kripto Luna kini hampir tidak bernilai

 

Luna, iaitu matawang kripto kontroversi kepada TerraUSD jatuh menjunam kepada paras hampir tidak bernilai di bawah 0.002 Dollar, pada Khamis.

TerraUSD, atau disebut sebagai UST, menjadi tumpuan orang ramai, khususnya pelabur matawang kripto, sejak beberapa hari lalu selepas nilainya jatuh dibawah paras USD 1, biarpun sebelum ini ia digembar-gemburkan sebagai matawang kripto stabil dan diikat one-to-one kepada Dollar.

UST adalah matawang kripto stabil algometrik yang mana menggunakan kod-kod tertentu untuk mengekalkan nilainya sekitar USD 1 dengan menggunakan sistem yang kompleks. Token UST dihasilkan dengan memusnahkan matawang kripto Luna yang berkaitan untuk mengekalkan kadar pertukaran dengan Dollar.

Berbeza dengan matawang kripto stabil yang lain seperti, Tether dan USD Coin, UST tidak disokong oleh sebarang aset nyata seperti bon. Sebaliknya, Yayasan Pelindung Luna, yang ditubuhkan oleh pengasas Terra, Do Kwon memegang simpanan bitcoin bernilai kira-kira USD 3.5 billion.

Namun, dengan situasi semasa pasaran matawang kripto, UST dilapor menanggung kesan yang teruk.

Kadar pertukarannya jatuh merudum sekaligus menyebabkan banyak pelabur bergegas untuk melupuskan semua matawang kripto Luna yang berkaitan. Matawang kripto Luna jatuh daripada nilai USD 85 pada minggu lalu kepada sekitar USD 0.04 pada Khamis, berdasarkan data yang dikumpul oleh Coin Metric, menjadikannya hampir tidak bernilai.

Binance, salah satu penyedia perkhidmatan pertukaran matawang kripto terbesar di dunia pada Khamis berkata, jaringan Terra, iaitu rangkaian yang dikaitkan dengan matawang Luna kini berdepan dengan ”kelembapan dan kesibukkan” yang menyebabkan berlakunya ”penundaan terhadap transaksi dalam rangkaian Terra”.

Kata Binance lagi, ia menjadi petanda bahawa para pelabur kini bergegas mahu menjual pegangan Luna masing-masing. Ia memaksa Binance menggantung sementara transaksi Luna untuk beberapa jam sebelum disambung semula.

Sebelum ini, tindakan Yayasan Pelindung Luna memilih bitcoin sebagai kaedah simpanan, berbanding sokongan aset nyata, telah menimbulkan kontroversi dalam pasaran matawang kripto. Para pelabur kini bimbang bahawa yayasan berkenaan mungkin terpaksa menjual pegangan bitcoinnya bagi menyokong kembali nilai pertukaran Luna.

Bagaimanapun, nilai matawang kripto Bitcoin juga mencatatkan penurunan lebih 29 peratus dalam tempoh 7 hari yang lalu dan pada Khamis, nilai Bitcoin jatuh dibawah USD 26,000, nilai terendah sejak Disember 2020.

Manakala kadar pertukaran Tether, matawang kripto stabil terbesar di dunia, juga jatuh dibawah USD 1 pada Khamis, sekaligus menyababkan panik berlaku dalam pasaran matawang kripto.