Penduduk dengar bunyi helikopter terbang rendah

Penduduk dengar bunyi helikopter terbang rendah

 

Bunyi kuat helikopter terbang rendah menjadi petunjuk pertama pencarian operasi dan menyelamat (SAR) seorang juruterbang yang hilang selepas helikopter jenis Eurocopter dilaporkan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur pada Ahad.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, maklumat terima daripada orang awam sekitar jam 5.40 petang yang memaklumkan terdengar bunyi berkenaan berhampiran Kampung Kenangan Jalan Bidor-Teluk Intan di sini.

Menurutnya, pasukan penyelamat kini memfokuskan pencarian kawasan Hutan Simpan Chikus seluas 2,000 hektar yang menjadi lokasi terakhir mangsa menghubungi menara kawalan.

“Seramai 11 pegawai dan 80 anggota membabitkan polis, Pasukan Gerakan Am (PGA), Unit Udara, Bomba dan Jabatan Perhutanan Negeri digerakkan dalam operasi ini.

“Helikopter pendaftaran N409HH jenis EG120 milik syarikat swasta melibatkan seorang juruterbang tanpa penumpang,” katanya kepada pemberita di Balai Polis Bidor di sini.

Tambah Mohd Yusri, pihaknya masih belum menerima identiti juruterbang terbabit.

“Jadi disebabkan faktor cuaca dan masa yang tidak mengizinkan, kita akan sambung pencarian pada jam 8 pagi esok.

“Kaedah pencarian dilaksanakan mengikut jalan darat dan udara. Setakat ini tiada petunjuk baharu diperolehi,” katanya

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu pasukan penyelamat.

Sinar Harian melaporkan sebuah helikopter jenis Eurocopter disahkan terputus hubungan selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor pada tengah hari Ahad.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) yang menjelaskan helikopter berkenaan sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh pada jam 12.37 tengah hari selepas berlepas pada jam 11.37 pagi.