Helikopter dikhuatiri hilang di hutan sekitar Bidor

Helikopter dikhuatiri hilang di hutan sekitar Bidor

 

Sebuah helikopter jenis Eurocopter disahkan terputus hubungan selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang, Selangor pada tengah hari tadi.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) yang menjelaskan helikopter berkenaan sepatutnya mendarat Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh pada jam 12.37 tengah hari selepas berlepas pada jam 11.37 pagi.

Menurutnya, helikopter yang dimiliki oleh sebuah syarikat dikhuatiri hilang pada jam 12.16 tengah hari oleh Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur di sebuah lokasi berhampiran Bidor, Perak.

“Pihak CAAM akan mengeluarkan kenyataan lanjut mengenai kejadian ini dan operas mencari dan menyelamat telah diaktifkan di lokasi yang dikenal pasti.

“Kita lakukan usaha terbaik untuk melakukan kerja-kerja pencarian, yang penting kita dapat kerjasama daripada polis dan kerah agensi berkaitan membantu mencari helikopter tersebut,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Stesen KTM Ipoh, di sini pada Ahad.