Rumah pemuzik, penulis lagu dipecah masuk

Rumah pemuzik, penulis lagu dipecah masuk

 

Rumah pemuzik, penulis lagu dipecah masuk

Seorang pemuzik dan penulis lagu terkejut apabila mendapati bilik anaknya dalam keadaan berselerak seperti diselongkar dalam kejadian di Kampung Seberang Batu Hampar, di sini, pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Azmi Ali berkata, kejadian itu disedari mangsa selepas bangun tidur kira-kira pukul 6.20 pagi.

Mangsa yang berusia dalam lingkungan 50-an turut mendapati barang-barang di dalam bilik belakang juga telah beralih.

“Mangsa melakukan pemeriksaan di kawasan rumahnya mendapati ada kesan umpil pada pintu dapur selain pintu jeriji belakang telah dipotong. Pintu kayu rumah mangsa turut dipecahkan.

“Mangsa mengalami kerugian RM5,000 apabila komputer riba miliknya dan anak yang mempunyai ‘intelektual property’ membabitkan lagu dalam proses pembikinan dan telah siap diproses dilarikan penjenayah tersebut,” katanya ketika dihubungi.

Azmi berkata, mangsa turut kehilangan beg sandang yang mempunyai perjanjian serta dokumen berkaitan urusan pekerjaannya sebagai broker tanah. Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.