Pekerja wanita dapat pampasan RM170,000 selepas disamakan dengan ‘Darth Vader’

Pekerja wanita dapat pampasan RM170,000 selepas disamakan dengan ‘Darth Vader’
Hanya kerana disamakan dengan watak penjahat dalam filem Star Wars, pekerja wanita di Britain berjaya memenangi tuntutan saman dan menerima pampasan hampir 30,000 pound sterling (kira-kira RM171,527).
Lorna Rooke, yang bekerja sebagai penyelia latihan di Perkhidmatan Darah dan Transplan NHS, berasa terhina selepas rakan sekerja menyamakan personalitinya dengan ‘Darth Vader’ iaitu penjahat terkenal dalam filem Star Wars.
Insiden itu berlaku pada Ogos 2021 semasa sesi latihan pasukan, apabila semua ahli kumpulan mengambil ujian kuiz personaliti bertemakan Star Wars.
Rooke tidak sempat menjawab kerana menerima panggilan telefon, tetapi rakannya, Amanda Harber mengisi kuiz itu bagi pihaknya.
Lebih mengejutkan, Amanda kemudian mengumumkan kepada semua, hasil kuiz menunjukkan Rooke mempunyai personaliti seperti ‘Darth Vader’.
Rooke berkata, tindakan itu buat dia rasa tidak disukai dan menjadi antara sebab dia berhenti kerja sebulan selepas itu.
Tribunal pekerjaan yang bersidang di Croydon, selatan London bersetuju, tindakan menyamakan seseorang dengan ‘Darth Vader’ boleh dianggap sebagai kemudaratan di tempat kerja.
Hakim Kathryn Ramsden menegaskan ia adalah satu penghinaan dan boleh beri kesan emosi kepada seseorang.
“Darth Vader adalah penjahat legenda dalam siri Star Wars, jadi apabila disamakan dengan dia memang menyakitkan hati,” katanya.
Rooke akhirnya menang kes berkaitan perlindungan pemberi maklumat dan diberikan pampasan 28,989.61 pound sterling (kira-kira RM165,750), walaupun tuntutannya berkaitan pemecatan tidak adil dan diskriminasi ditolak.
Ujian personaliti itu pada awalnya dikatakan mirip kepada penilaian Myers-Briggs, namun syarikat itu menafikan ia ujian rasmi mereka.