Ali XPDC jual barangan ‘preloved’ demi kelangsungan hidup

Ali XPDC jual barangan ‘preloved’ demi kelangsungan hidup

 

Ali XPDC jual barangan ‘preloved’ demi kelangsungan hidup

Penyanyi Ali XPDC, 57, tetap tabah menempuh ujian yang bertimpa-timpa melanda hidupnya.

Ketika keadaan kesihatannya masih belum stabil, Ali dikejutkan dengan kehilangan isteri tercinta, Sharifah Azuwanna Syed Joned, 53, yang meninggal dunia akibat kanser payudara pada 6 April lalu.

Bagaimanapun Ali kekal positif untuk meneruskan kehidupan. Bapa kepada lima anak ini kini berehat dari nyanyian, namun perlu memikirkan cara untuk mencari pendapatan keluarga.

Untuk itu, Ali yang dibantu sahabatnya, Ejay Daie, mengambil pendekatan menjual barangan ‘preloved’ miliknya dan mengeluarkan produk-produk untuk menjana wang.

Ejay berkata, dia menyedari situasi Ali yang perlu meneruskan kelangsungan hidup dalam keadaan lebih lima tahun menderita sakit.

“Ali tidak boleh menyanyi dan bekerja. Jadi dia terpaksa menjual barang-barang yang ada. Saya sebagai pengasas Empire Daie Ejay Collection, mengambil inisiatif ini sebagai cara membantunya.

“Sebelum ini kami pernah buat Live TikTok jual tiga motor RXZ milik Ali tapi tiada yang beli. Jadi saya beli dan bayar dia. Dah beli saya terfikir apa nak buat pula dengan motor ini?

“Jadi terfikir pula nak buat produk untuk dia. Saya pun memang dah ada produk. Dari situ dia dapat pasif ‘income’ (pendapatan) dari jualan ini,” katanya kepada Harian Metro.

Ejay akan mengeluarkan minyak wangi produk madu jamu dan minyak wangi jenama Ali.

“Kami akan adakan jualan amal barangan preloved Ali serta pelancaran produk Ali dan peraduan beli dan menang dengan hadiah berjumlah RM100,000.

“Ia akan berlangsung pada jam 9.30 malam esok (Ahad) di rumah Ali di Sepang. Kami letakkan syarat mudah untuk sertai peraduan ini, selain beramal bantu Ali.

“Hadiah-hadiah yang ditawarkan ialah tiga motosikal kesayangan Ali iaitu Yamaha RXZ Suzuki berharga RM30,000, Panther Jerung berharga RM15,000 dan Suzuki V100 berharga RM10,000,” katanya.

Hadiah-hadiah lain yang ditawarkan ialah pakej umrah, cat kereta percuma, barangan sunnah dan tiket percutian ke Turkiye.

Ejay berkata, peminat hanya perlu ‘like page’ TikTok Empire Daie Ejay Collection dan Ejay Daie.

“Mereka hanya perlu tengok ‘live bid’ dan jualan amal ‘contest’ beli & menang dan ikuti syarat yang ditetapkan nanti,” katanya.