Netizen Indonesia dedah dua sebab filem Sheriff tak laku

Netizen Indonesia dedah dua sebab filem Sheriff tak laku

 

Filem Sheriff dilihat mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan di tanah air sendiri namun berbeza pula penerimaan di negara jiran, Indonesia.

Ramai netizen menuduh bahawa rakyat Indonesia lebih mengutamakan filem-filem mereka sendiri dan tidak akan menyokong kehadiran filem dari Malaysia.

Bagaimanapun, pengarah sendiri iatu Syafiq Yusof telah berlapang dada dan menekankan kegagalan karyanya di Indonesia adalah kesalahan sendiri serta tidak perlu memainkan sentimen rakyat Indonesia tidak menyokong filem tempatan.

“Sentimen yg mengatakan filem Sheriff tidak laku di Indonesia kerana mereka tidak sokong filem Malaysia adalah 100 peratus tidak benar!

“Kegagalan filem Sheriff di Indonesia adalah kegagalan saya sendiri. Tidak harus persalahkan sesiapa,” tulisnya di ciapan baru-baru ini.

Bagi beliau, rakyat Indonesia berhak untuk memilih filem yang mahu dipertontonkan. Syafiq mengakui filem Sheriff masih jauh ketinggalan kalau dibandingkan dengan filem-filem aksi daripada Indonesia.

Beliau juga berpendapat sekiranya sesebuah filem itu tidak laku di sesebuah tempat, itu bukan salah penonton tetapi salah pembikin sendiri.

Dia mengakhiri ciapan dengan menegaskan akan bertanggungjawab atas kegagalan ini dan akan terus memperbaiki filemnya yang akan datang. Dalam pada itu, dia sempat berterima kasih kepada negara Indonesia kerana memberi peluang untuk filem Sheriff ditayangkan di sana.

Ciapan yang cukup menyentuh perasaan ini telah meraih perhatian netizen termasuklah daripada Indonesia yang mana turut bersedih dengan nasib yang ditimpa terhadap filem Sheriff.

Dalam pada itu, netizen Indonesia berkongsi beberapa sebab kegagalan filem Sheriff untuk berjaya di sana.

Kurang promosi filem di Indonesia

Salah satu sebab ia tidak laku seperti yang diharapkan oleh Shafiq adalah kegagalan melakukan promosi filem Sheriff secara besar-besaran seperti yang dilakukan oleh filem-filem antarabangsa lain yang masuk ke dalam pasaran mereka.

Menurut peminat filem di sana, mereka tidak mempunyai masalah untuk menyokong filem daripada Malaysia bagaimanapun ketiadaan promosi di media sosial dan juga poster secara meluas di sana menjadikan ia tenggelam.

Malah, mereka mendakwa filem Exhuma yang sebelum ini ditayangkan di pawagam di sana turut mempunyai jumlah tontonan yang tinggi kerana promosinya yang cukup hebat sehingga menjadi bualan ramai.

Lebih mengejutkan lagi, apabila mereka mendedahkan hanya mengetahui kewujudan filem Sheriff selepas kecoh berita tayangan diturunkan di sejumlah panggung wayang di Indonesia.

Silap pemilihan waktu tayangan

Selain itu, mereka juga mendedahkan sebab kedua adalah kesilapan Syafiq menayangkan filem Sheriff bersama barisan filem yang lebih hype di pasaran Indonesia pada ketika ini.

Jika kita melihat barisan tajuk filem yang sedang hangat menjadi bualan di sana adalah filem VINA: SEBELUM 7 HARi dan beberapa filem daripada Thailand serta anime popular.

Jadi, segala perhatian telah diberikan kepada filem-filem tersebut berbanding filem Sheriff yang kurang popularitinya kerana promosi yang kecil.

Oleh itu, netizen Indonesia memberi nasihat kepada Syafiq untuk mempelajari pasaran di sana terlebih dahulu dan melakukan promosi dengan lebih efektif dan efisien seperti melantik influencer untuk menghebahkan filem tersebut dan membuat promosi video teaser menerusi platform TikTok dengan hebat.

Mereka turut berkongsi sangat meminati filem Malaysia seperti Munafik dan didapati berjaya menarik minat rakyat di sana.

Diharapkan dengan perkongsian ini dapat menjadi panduan buat Syafiq untuk lebih berjaya menembusi pasaran Indonesia di masa kelak.