“Semangat patriotisme tinggi” – Afdlin Shauki dedah punca filem Sheriff tak laku di Indonesia

“Semangat patriotisme tinggi” – Afdlin Shauki dedah punca filem Sheriff tak laku di Indonesia

 

Pengarah Datuk Afdlin Shauki tidak terkejut filem Sheriff gagal mendapat sambutan dalam kalangan penonton di Indonesia kerana agak sukar karya luar menembusi pasaran di negara tersebut.

Afdlin, 53, berkata, selain semangat patriotisme yang menebal, bahasa juga menjadi faktor mengapa filem arahan Syafiq Yusof itu gagal di Indonesia.

“Semangat patriotisme, kemudian bahasa sebab mereka tak faham bahasa Malaysia dan kita pun macam ‘tangkap-tangkap’ saja apa mereka cakap.

“Memang betul semangat patriotik mereka tinggi dan kalau dah filem mereka sudah bagus kenapa perlu sokong filem asing?

“Tapi kita tak boleh kata filem Sheriff gagal cumanya ia tidak sesuai dengan pasaran di Indonesia,” katanya kepada mStar.

Dalam pada itu, Afdlin berpendapat jika karya dari Malaysia mahu berjaya di Indonesia maka perlulah menggunakan tenaga kerja negara tersebut untuk mendapat sokongan mereka.

Bagaimanapun Afdlin menasihati pembikin filem di Malaysia agar fokus untuk berjaya di negara sendiri terlebih dahulu sebelum berfikir membawa karya mereka ke luar negara.

“Kalau ada niat untuk ke sana (Indonesia) kena buat kajian. Secara umum, kalau nak berjaya di Indonesia, carilah penulis skrip orang sana sebab mereka akan sokong.

“Kalau awak penerbit, nak filem berjaya ambil pekerja orang Indonesia. Insya-Allah akan ada sambutan sebab mereka akan sokong filem yang dibuat rakyat mereka.

“Apapun jangan jadikan Indonesia sebagai sasaran untuk berjaya, tetapi buat yang terbaik di negara kita dulu,” jelasnya.

Untuk rekod, kutipan filem Sheriff setakat ini dilaporkan sebanyak RM60.5 juta.

Kutipan tersebut juga meletakkan karya terbitan Skop Production dan Astro Shaw ini sebagai filem tempatan nombor satu tahun 2024.

Sheriff menampilkan barisan pelakon termasuk Zul Ariffin, Syafiq Kyle, Datuk Aaron Aziz, Azira Shafinaz dan Elizabeth Tan.