Mat Kilau dikritik di Netflix, ini respon Syamsul Yusof

Mat Kilau dikritik di Netflix, ini respon Syamsul Yusof

 

“Ada suka, puji melambung, hina pun ada. Jadi, tenang-tenanglah.”

Demikian kata pengarah terkenal Syamsul Yusof mengenai maklum balas penonton terhadap filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan (Mat Kilau) yang mula ditayangkan di Netflix sejak kelmarin.

Syamsul, 38, berkata, apa yang penting adalah kebanyakan penonton suka selain mendapat banyak kiriman mesej secara ‘Direct Message’ (DM) di Instagram dari seluruh negara.

“Apa pun alhamdulilah. Saya dah lama buat filem dah ‘masak’. Filem ni biasalah. Apa yang penting majoriti penonton suka, saya bersyukur. Lepas tu sebagai pengkarya filem jangan mudah puas hati. Terus perbaiki dan baiki perlahan-lahan.

“Apabila ditayangkan di Netflix, alhamdulillah, respons pun sangat baik, luar biasa juga. Saya setiap hari menerima DM, mesej daripada peminat di serata dunia. Ada dari Jerman, Madinah (Aarab Saudi), Australia, Amerika Syarikat, cakap tahniah dan pasukan Mat Kilau,” katanya kepada Harian Metro.

Sejak mula ditayangkan di Netflix kelmarin, Mat Kilau dilihat menerima reaksi negatif daripada penonton yang menonton di platform itu.

Rata-rata penonton yang dikatakan baru kali pertama menonton filem itu seakan-akan tidak berpuas hati dengan kualiti filem berkenaan.

Antara kritikan negatif yang ditinggalkan pengguna Twitter adalah kualiti sinematografi babak aksi yang dikatakan kucar-kacir.

Selain itu, ada juga yang berpandangan skrip yang digunakan di dalam filem itu kurang menarik dan kedengaran seperti ‘ceramah’.

Sementara itu, bercerita mengenai tayangan filem terbitan Studio Kembara itu di Indonesia, Syamsul berkata, peminat di sana tidak dapat menikmati filem itu dalam tempoh lama di pawagam apabila mula ditayangkan di Netflix.

“Untuk di Indonesia, sayang peminat tidak dapat menikmati Mat Kilau dengan puas atau lama sebab permintaan amat tinggi di Netflix. Jadi, penerbit dan saya pun nasihat untuk tayangkan segera di Netflix.

“Walaupun mereka tidak dapat menikmati di pawagam dalam masa lama, sekejap saja dalam seminggu di pawagam terus masuk Netflix. Ini sebab Netflix pun mahu kita segera untuk tayang supaya seluruh dunia boleh tengok,” katanya.

Menurut Syamsul, kejayaan filem itu meraih kutipan RM97 juta membuatkan banyak wakil filem dari pelbagai negara mahu menayangkan filem terbitan dan arahannya selepas ini.

“Kejayaan Mat Kilau amat luar biasa. Penutup kutipan hampir RM100 juta dan ditayangkan di Indonesia. Insya-Allah pada masa akan datang, nak tayangkan serentak di Indonesia atau negara luar lain juga.

“Alhamdulillah, selepas kejayaan filem ini ada agen dari negara lain yang mula berminat dengan filem saya, jadi saya bersyukur,” katanya.