Lelaki maut dipanah petir

Lelaki maut dipanah petir

Seorang lelaki maut selepas dipercayai dipanah petir ketika bermain bola sepak di padang Majlis Sukan Negara (MSN) Setiawangsa, hari ini.

Mangsa Lim Yu Kim berusia 52 tahun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur, Kapten (PA) Mazran Mohamed, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 5.48 petang tadi.

Susulan itu, katanya, seramai 10 anggota serta pegawai menaiki dua kenderaan APM dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Ketika kejadian, mangsa sedang bermain bola sepak dalam aksi perlawanan persahabatan antara UK Lion dan Harimau Division.

“Mangsa bermain dalam posisi pertahanan. Panahan petir berlaku di bahagian kotak penalti di padang dekat pagar jaring bola,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

 

Mangsa (dalam bulatan) dikatakan bermain posisi pertahanan dalam aksi persahabatan hari ini. - Foto ihsan pembaca
Mangsa (dalam bulatan) dikatakan bermain posisi pertahanan dalam aksi persahabatan hari ini. – Foto ihsan pembaca

 

Sementara itu, pengadil perlawanan itu, Asmadi Shawal Ahmad ketika dihubungi BH berkata dirinya dan enam pemain termasuk Yu Kim disambar petir petang tadi.

“Anggota perubatan yang tiba di padang itu mengesahkan saya dan lima lagi pemain selamat, hanya Yu Kim dibawa ke hospital dan kemudian disahkan maut.

“Saya dan pemain lain berkaitan diminta untuk mendapatkan rawatan di hospital jika mempunyai simptom seperti sakit kepala dan sesak nafas dalam masa terdekat susulan insiden yang berlaku,” katanya. – BH