Lelaki belasah & pijak kepala anak tiri ditahan

Lelaki belasah & pijak kepala anak tiri ditahan

 

Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian memukul anak tirinya di sebuah rumah di Parit Buntar.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Mazuki Mat berkata, ia susulan satu hantaran yang tular mengenai kejadian itu yang dibuat seorang remaja berusia 19 tahun.

Katanya siasatan mendapati laporan polis dibuat remaja terbabit pada 18 Ogos lalu dan suspek adalah bapa tiri mangsa.

“Suspek ditahan pada hari yang sama dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 18 A Akta Keganasan Rumahtangga,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, beberapa keping gambar kecederaan yang dialami termasuk audio jeritan ketika dipukul dimuat naik remaja itu di Instagram miliknya, @d4hleea, sehingga menjadi tular.

Mangsa mengakui bertengkar dengan ibu kandung menyebabkan bapa tirinya keluar dari bilik air dan menampar pipi, menendang bahagian belakang badan dan memijak kepalanya.

Mangsa turut mendakwa ditendang sekali lagi di hadapan pintu rumah.

Menurutnya, dia mengalami kecederaan dan dibawa oleh rakan pulang ke rumah bapa kandungnya sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Parit Buntar.