Ibu bapa digalak buat aduan jika sekolah anjur aktiviti luar ketika cuaca panas terik

Ibu bapa digalak buat aduan jika sekolah anjur aktiviti luar ketika cuaca panas terik

 

Jika sekolah mewajibkan murid-muridnya menjalankan aktiviti luar kelas ketika fenomena El Nino dan keadaan cuaca panas mencapai tahap melebihi 35 darjah Celsius, ibu bapa boleh mengemukakan aduan rasmi kepada Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata pihaknya sudah mengeluarkan garis panduan iaitu sebarang aktiviti luar bilik darjah tidak boleh dijalankan, sekiranya suhu mencapai 35 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.

“Garis panduan itu harus diikuti dan dalam masa sama juga kita merujuk Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dan Kementerian Kesihatan (KKM) dari semasa ke semasa.”

“Ia bertujuan untuk mendapatkan pedoman berkaitan isu cuaca (El Nino) ini. Garis panduan itu memang perlu dipatuhi oleh pihak sekolah.”

“Bagaimanapun, sekiranya ada aduan rasmi daripada ibu bapa, saya mohon untuk dipanjangkan kepada SISPAA bagi membolehkan tindakan diambil.”

Perkara ini mula dibahaskan apabila beliau menerima maklumat di media sosial berkenaan dengan rungutan ibu bapa yang mendakwa ada sekolah di Terengganu merancang untuk mengadakan aktiviti merentas desa pada minggu ini.

Bagaimanapun, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) sudah mengingatkan semua sekolah supaya tidak mengadakan sebarang aktiviti luar bilik darjah pada musim panas.

Jelas Fadhlina, setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang aduan rasmi daripada mana-mana pihak terutama ibu bapa berkaitan perkara berkenaan.

“Kita alu-alukan sebarang aduan dan akan menjalankan siasatan sama ada ia berasas atau sebaliknya.”

Beliau turut menegaskan bahawa KPM tidak mempunyai halangan untuk terus menangguhkan sebarang aktiviti luar bilik darjah jika fenomena El Nino yang melanda negara ketika ini berterusan.

Jelasnya lagi, KPM akan terus berkolaborasi dengan Kementerian Kesihatan untuk memantau keadaan cuaca dan juga status kesihatan pelajar.