108 cawangan KFC di seluruh Malaysia ditutup sementara, dua negeri ini paling banyak terjejas

108 cawangan KFC di seluruh Malaysia ditutup sementara, dua negeri ini paling banyak terjejas

 

QSR Brands (M) Holdings Bhd menutup sementara waktu lebih 100 cawangan KFC di seluruh Malaysia ekoran gerakan boikot yang berlangsung kira-kira setengah tahun, lapor Nanyang Siang Pau.

Menjelang petang 27 April, sudah ada 108 daripada 600 cawangan telah menghentikan operasi buat sementara waktu, lapor portal tersebut.

Kelantan mencatatkan angka paling tinggi dengan hampir 80 peratus atau sehingga 21 cawangan ditutup buat sementara waktu.

Menurut portal itu lagi, maklumat dan data menunjukkan terdapat cawangan di 13 negeri di seluruh negara dan Kuala Lumpur yang telah digantung daripada perniagaan.

15 cawangan di Johor (tutup sementara waktu), Kedah (11), Terengganu (10), Pahang (10), Perak (9), Negeri Sembilan (6), Perlis (2), Melaka (2), Pulau Pinang (5), Kuala Lumpur (3), Sabah (1) dan Sarawak (2).

“Jelas sekali boikot itu telah menjejaskan operasi KFC di seluruh negara,” ujar portal berkenaan.

KFC tutup sementara cawangan terpilih

QSR Brands (M) Holdings Bhd dan KFC Malaysia menutup sementara cawangan terpilih berikutan persekitaran ekonomi yang mencabar ketika ini.

Dalam satu kenyataan, QSR Brands, berkata penutupan itu adalah sebahagian daripada usahanya menguruskan peningkatan kos perniagaan dan memberi tumpuan kepada operasi perniagaan di kawasan yang lebih baik.

“Kakitangan dari cawangan yang terjejas ditawarkan peluang untuk berpindah ke cawangan yang masih beroperasi sebagai sebahagian daripada strategi taktikal untuk mengoptimumkan sumber dalam zon perniagaan yang menerima pelanggan yang lebih tinggi,” katanya.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak mendedahkan sebarang angka selain sumbangan QSR Brand kepada ekonomi melalui jaminan pekerjaan untuk 18,000 ahli pasukan di Malaysia, dengan kira-kira 85 peratus adalah beragama Islam.

“QSR Brands terus menjadi antara pembayar cukai terbesar di Malaysia dan berbangga kerana dapat memberi kembali kepada masyarakat melalui KFC Add Hope dan Dana Zakat Wakalah.

“Kami amat percaya rakyat akan mengiktiraf latar belakang Malaysia kami, keikhlasan kami dan kerja keras kami dalam menyumbang kepada ekosistem Malaysia,” kata QSR Brands.

Laporan akhbar harian berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau mendakwa 108 cawangan KFC telah ditutup buat sementara waktu, berdasarkan data Google Maps.

Laporan itu turut menyebut cawangan di Kelantan paling banyak terjejas sehingga 21 cawangan ditutup sementara, manakala Johor 15 cawangan.

Selain itu, Singapore Straits Times turut memetik sumber tanpa nama daripada QSR Brands yang mengaitkan penutupan itu berpunca daripada kesan boikot orang awam dan ia boleh dilihat sebagai peluang untuk menghentikan beberapa operasi cawangan KFC.

Terdapat lebih 600 restoran KFC di Malaysia, dikendalikan oleh QSR Brands yang kini dimiliki oleh Johor Corporation iaitu syarikat milik kerajaan negeri Johor.