Zoo, Taman Tasik Taiping dibuka hari ini

Zoo, Taman Tasik Taiping dibuka hari ini

Beberapa kawasan rekreasi dan tumpuan pelancongan di bandar ini yang berada di bawah seliaan Majlis Perbandaran Taiping (MPT) akan dibuka semula secara berfasa bermula hari ini dan beroperasi mengikut aturan yang ditetapkan.

MPT dalam satu kenyataan memberitahu, Taman Tasik Taiping dan Taman Tasik Kamunting akan dibuka hari ini untuk dikunjungi oleh orang ramai termasuk melakukan aktiviti riadah.

Menurut kenyataan tersebut, turut dibenarkan buka ialah Zoo Taiping yang boleh beroperasi dari pukul 8.30 pagi hingga 6 petang tetapi Night Safari masih ditutup manakala Taman Botani Perak dibuka pada 1 Mac.

“Pusat Peranginan Bukit Larut masih ditutup kepada orang awam kerana kerja-kerja baik pulih masih belum selesai sepenuhnya.

“Namun begitu, aktiviti mendaki dan riadah telah dibenarkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Majlis Keselamatan Negara terkini.

“Kepada mereka yang melakukan aktiviti tersebut di kawasan Bukit larut, ia adalah atas tanggungjawab risiko sendiri dan MPT tidak akan bertanggungjawab jika berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini,” ujar kenyataan tersebut di sini hari ini.

PKPB bermula 19 Februari sehingga 4 Mac ini diteruskan mengikut amalan norma dan kebiasaan baharu dalam menjalani kehidupan seharian demi memutuskan penularan wabak Covid-19.

Antaranya ialah elak berada di kawasan sesak, sempit dan berbual pada jarak dekat.

Manakala tiga perkara yang perlu diamalkan ialah kerap mencuci tangan dengan air dan sabun, memakai pelitup muka dan patuhi amaran yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan. – KO