Zoo Taiping terima RM1.8 juta

Zoo Taiping terima RM1.8 juta
Kerajaan menyalurkan peruntukan sebanyak RM1.8 juta kepada pengendali Zoo Taiping bagi membaik pulih kemudahan yang disifatkan kritikal.

Menteri Sumber dan Tenaga Asli, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, kerajaan turut memberi potongan 15 peratus bil elektrik selama enam bulan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi.

Malah katanya, bantuan kepada Zoo Taiping bukan sahaja dilaksanakan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sebaliknya sejak 2004.

” Sehingga kini Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memberi pinjaman sebanyak 125 ekor hidupan liar milik kepada Zoo Taiping dengan nilai anggaran RM1.1 juta.

” Di samping itu, peruntukan kewangan juga disediakan bagi program pembangunan di Zoo Taiping iaitu sebanyak RM6.2 juta di bawah Rancangan Malaysia Ketujuh (RMK-7) dan RM10 juta di bawah Rancangan Malaysia Kelapan,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Teh Kok Lim ( PH- DAP) yang meminta kerajaan menyatakan langkah dan usaha bagi memastikan Zoo Taiping kekal maju.

Dalam pada itu, Shamsul berkata, bagi tindakan jangka panjang, pihaknya menerusi Perhilitan mengadakan sesi konsultasi dengan Persatuan Taman Zoologi dan Aquaria Malaysia (Mazpa) serta Zoo Taiping untuk mengkaji semula peraturan yang berkaitan pengendalian di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2020 [Akta 716].

” Ia bertujuan mengurangkan kebergantungan zoo kepada Kerajaan serta mengukuhkan operasi zoo supaya lebih berdaya maju dan pada masa yang sama memastikan kebajikan hidupan liar sentiasa terpelihara,” ujarnya.

Sumber: https://www.utusan.com.my/nasional/2020/12/zoo-taiping-terima-rm1-8-juta-potongan-elektirk/