“Ramai penyanyi bagus tapi penampilan tiada” – Ziana Zain
“Ramai penyanyi bagus tapi penampilan tiada” – Ziana Zain
Penyanyi berpengalaman, Ziana Zain menggariskan tiga teras sekiranya seseorang mahu menceburi bidang seni suara dan terus bertahan dalam belantara muzik tanah air.
Ziana mula terjun dalam industri seni tanah air sejak 1989 berkata, tiga perkara perlu diberi perhatian adalah bakat, imej dan disiplin.
Ziana yang juga juri tetap program realiti, Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) menyifatkan perkara itu menjadi kriteria sering dipandang orang ramai, malah berpendapat ia sebagai keperluan bagi anak seni sekiranya mahu terus bertahan.
“Bakat dan imej itu penting. Kita bukan macam industri di Barat, ini Malaysia. Imej yang saya maksudkan adalah penampilan dan bagaimana untuk serlahkan diri sebagai penyanyi.
“Ini termasuk juga cara seseorang berjalan. Semua ini penting untuk buat orang terpikat. Sekarang ramai penyanyi bagus, tapi bila tiada penampilan maka tak menjadi.
“Bukan mahu pandang sebelah mata, cuma mereka perlu berusaha. Jika suara bagus, kena fikir apa lagi yang perlu diperbaiki,” katanya menurut BH Online.
Ziana atau nama sebenar, Siti Roziana Zain, 56, berkata perkara itu turut diambil kira ketika menilai setiap peserta dalam CSOIAM.
Ziana melihat peserta yang mempunyai pakej lengkap merangkumi bakat, rupa dan disiplin untuk diangkat dalam program realiti yang kembali selepas 15 tahun ini.
“Ketika menjadi juri, saya juga melihat soal imej. Ada peserta yang saya tegur soal ini. Hendak jadi penyanyi bukan mudah.
“Saingan sangat besar dan ramai yang mahu jadi penyanyi. Sebagai juri, kami susah untuk memilih. Peluang datang sekali sahaja, jadi guna sebaik mungkin termasuk menjaga imej,” katanya.
Pelantun lagu Madah Berhelah itu mengakui, tidak mudah untuk membuat keputusan kerana setiap peserta mempunyai bakat, namun, perlu mencari kelainan pada seseorang penyanyi.
“Sebagai penyanyi perlu ada ‘X Factor’ (kelainan). Kita kecilkan pemilihan dan mencari yang mana boleh memikat juri dan penonton. Jika penyanyi itu sama sahaja seperti orang lain, kami terpaksa keluarkan.
“Bukannya tidak bagus dan mungkin akan lebih berjaya di luar sana. Ini adalah pertandingan dan mereka perlu akur. Kami bukan buat keputusan sesuka hati,” katanya.
Menerusi CSOIAM, Ziana dibantu dengan dua lagi juri tetap iaitu Datuk Yusry Abdul Halim dan penyanyi Indonesia, Cakra Khan untuk menilai peserta selama lapan minggu program bersiaran.