Zarina Zainuddin jawab dakwaan Azil pukul bekas bibik, “Jangan fitnah anak saya macam ni”

Zarina Zainuddin jawab dakwaan Azil pukul bekas bibik, “Jangan fitnah anak saya macam ni”

 

Pelakon senior, Zarina Zainuddin menafikan dakwaan bekas pembantu rumah yang menyatakan anak istimewanya, Azil telah memukul wanita Indonesia terbabit.

Zarina mengeluarkan kenyataan itu menerusi sebuah hantaran di Instagram berkata, anaknya tidak pernah memukul orang dan menyifatkan dakwaan tersebut sebagai fitnah.

“Anak saya ini anak istimewa. Dia pukul diri dia sendiri sahaja, dia tak akan pukul orang lebih-lebih, dia genggam tangan sahaja.

“Jangan fitnah anak saya macam ini, dia tak tahu apa-apa. Dia mengamuk pun dia pukul muka dia sendiri bukan pukul orang,” katanya.

Selain itu, Zarina juga memberi amaran kepada bekas pembantu rumahnya yang telah melarikan diri agar tidak membuat cerita tidak benar.

Dedahnya, rantai labuh dan gelangnya hilang kerana telah dicuri oleh bekas pembantu rumah terbabit.

“Kau kalau nak hidup bebas dekat luar itu senang nak ke mana-mana jangan kau buat cerita bukan-bukan, pencuri! Patutlah rantai labuh dan gelang itu lama aku cari tiada, kau kebas,” katanya.

Dalam pada itu, dia juga meminta orang luar agar tidak berkata bukan-bukan tanpa mengetahui situasi sebenar mengenai masalah tersebut.

Zarina juga meluahkan rasa kesal apabila orang ramai dilihat menyokong dakwaan bekas pembantu rumahnya sedangkan dia bersusah payah mencari rezeki untuk membiayai gaji mereka.

“Orang luar tak tahu cerita jangan sedap mulut sahaja cakap aku spin. Tak kena dekat kalian, dekat mak korang boleh lah cakap.

“Aku kerja setengah mati cari duit nak bayar duit maid puluh ribu, dia blah korang boleh sokong dia. Tiada otak ke korang?” luahnya.

Terdahulu, pembantu rumah yang dikenali sebagai Rahayu mendakwa sebab dia melarikan diri kerana tidak tahan dipukul oleh Azil.

Kata Rahayu, dia juga mempunyai bukti selain menafikan dakwaan dirinya mencuri barang kemas milik aktres itu.

Sebelum ini, Zarina mendedahkan bekas pembantu rumahnya itu mencuri barang kemas miliknya dan menghilangkan diri selepas mendapat gaji serta melarikan diri kerana mengikut teman lelaki.