Zahid didakwa berdendam dengan Muhyiddin kerana enggan tolong selesai kes mahkamah?
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berdendam dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana enggan menolongnya dalam menyelesaikan berdozen pertuduhan kes mahkamah yang sedang dihadapinya, kata pemimpin senior parti Datuk Seri Nazri Aziz.
Nazri berkata tindakan Zahid menggunakan Majlis Tertinggi (MT) UMNO untuk mendesak Perdana Menteri (PM) meletak jawatan disebabkan perbicaraan kesnya yang semakin hampir dijatuh hukuman dan sudah kesuntukan masa.
“Kes Zahid tetap tidak selesai sebab Tan Sri Muhyiddin tidak mahu berkompromi. Ini bermakna keputusan tersebut lebih kepada pengaruh dan dendam,” katanya kepada Agenda Daily.
Menambahkan lagi amarah Zahid apabila beliau tidak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) sebaliknya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dipilih sebagai pemimpin nombor dua negara.
“Ternyata keputusan MKT semalam lebih kepada agenda peribadi Zahid untuk membalas dendam terhadap Muhyiddin sebab bila dilantik UMNO menjadi Timbalan Perdana Menteri, bermakna pintu telah tertutup buat selama-lamanya bagi Zahid,” katanya lagi.
Jelas Nazri, tindakan melantik Ismail Sabri juga menyebabkan Zahid terasa tercabar kerana ia bakal menggugat kedudukannya semasa pemilihan parti nanti memandangkan mereka yang berjawatan dalam kerajaan akan naik dalam hierarki parti.
“Apabila dah berlaku macam ini, amalan dalam UMNO ini, bila seseorang itu pegang jawatan dalam kerajaan, jadi sewaktu pemilihan nanti dia lah yang menjadi Presiden parti.
“Jadi Zahid marahlah bila Ismail Sabri naik menjadi Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjadi Timbalan Presiden,” katanya lagi.
Malam tadi, Zahid sekali lagi mengumumkan keputusan yang seakan sama semasa ketetapan Perhimpunan Agung UMNO 2020 tetapi kali ini dengan lebih keras menuntut supaya Muhyiddin berundur secara terhormat dan memutuskan UMNO menarik sokongan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Zahid juga menuntut supaya PM baharu dilantik bagi menggantikan Muhyiddin bagaimanapun tidak menamakan individu yang layak untuk memegang jawatan nombor satu negara itu.
Bagaimanapun, Zahid berkata hanya PM sahaja berundur dan Menteri Kabinet sedia ada akan kekal.
Sumber: agendadaily