Zahid dedah ramai pemimpin Bersatu ‘risik’ mahu kembali kepada Umno

Zahid dedah ramai pemimpin Bersatu ‘risik’ mahu kembali kepada Umno

 

RAMAI lagi bekas pemimpin Umno dalam Bersatu yang mahu kembali semula ke pangkuan parti, kata Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sehubungan itu beliau berkata, Umno sedia mempertimbangkan ‘kepulangan’ semua bekas ahli serta pemimpinnya dengan sikap berlapang dada.

“Umno mengalu-alukan “sireh pulang ke gagang” kepada mereka yang akhirnya menyedari Umno jua parti yang benar, tulus serta jujur dalam perjuangan untuk agama, bangsa dan negara.

“Beberapa hari lalu bekas Ketua Bersatu Putrajaya bersama lebih 120 ahli parti serpihan itu kembali menyertai Umno.

“Sebelum itu ada pimpinan PPBM (Bersatu) telah pun terlebih dahulu meninggalkan PPBM bagi menyertai semula parti terbesar bangsa Melayu.

“Difahamkan ramai lagi pimpinan PPBM merisik peluang kembali ke pangkuan Umno. InsyaAllah kita perhalusi setiap permohonan dengan berlapang dada dan jiwa yang besar,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Ahmad Zahid berkata kesediaan Umno menerima kembali bekas ahli dan pemimpinnya akan membolehkan parti itu mengembleng segenap kekuatan bagi berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau memberi contoh, Umno juga menerima mana-mana bekas ahlinya yang mempamerkan kesetiaan tidak berbelah bahagi seperti Datuk Lokman Noor Adam.

“Selagi kepulangan mereka kepada Umno dengan hati nurani ikhlas beserta roh dan semangat untuk perjuangan yang mulia.

“Jangan samakan perkembangan itu dengan perbuatan curang wakil rakyat melompat parti selepas pilihan raya yang jelas merupakan penipuan kepada rakyat.

“Dengan izin dan inayah Allah SWT,  insyaAllah Umno akan bangkit dan gemilang pada PRU15,” katanya.

Jumaat lalu, bekas Ketua Bersatu Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Dr Erwan Mohd Tahir bersama kira-kira 120 ahli parti itu menyertai Umno dalam satu majlis di Putrajaya.

Erwan berkata, keputusan dibuat kerana beliau yakin hanya Umno dapat memartabat dan mempertahankan hak keistimewaan Melayu, perlembagaan serta Raja-raja seperti dinyatakan dalam asas penubuhan parti itu.

Sumber: Malaysiapost