Bella Astillah dan Syed Saddiq bagai ‘Yin dan Yang’

Bella Astillah dan Syed Saddiq bagai ‘Yin dan Yang’
“Macam ‘Yin dan Yang’ (mengikut falsafah Cina) kerana mereka nampak macam dari dunia yang sangat berbeza,” kata pelakon dan pengacara Dynas Mokhtar, 41, ketika diminta mengulas hubungan pelakon Bella Astillah dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang hangat diperkatakan netizen ketika ini.
Dynas berkata, sebagai rakan baik kepada Bella, dia juga menyukai keakraban hubungan yang terjalin antara mereka.
“Siapa yang tak suka tengok kerana mereka berdua sangat comel dan saya pun suka tengok dia orang ‘sweet’ (manis) macam itu.
“Mereka berdua nampak sangat berbeza, Bella dari industri hiburan dan yang seorang lagi (Syed Saddiq) pula nampak sangat lurus (naif). Kalau sama-sama ‘Yin’ (mengikut falsafah Cina dalam konsep berpasangan) pun tidak boleh juga untuk melengkapkan hubungan. Hopefully (semoga) macam itulah ya,” katanya.

Pelakon, Dynas Mokhtar. Foto Harian Metro
Ditanya sejauh mana hubungan Bella dan Syed Saddiq pula, Dynas juga hanya mampu mendoakan yang terbaik buat mereka.
“Saya pun tidak pasti sama ada mereka bercinta atau sebaliknya kerana Bella tidak berkongsi mengenainya.
“Saya doakan semoga Bella dapat jodoh yang terbaik dan seorang suami yang boleh melayan dia dengan baik seperti itu.
“Sebab Bella ada dua anak yang masih kecil dan mereka perlukan figura seorang bapa,” katanya.
Terdahulu, hubungan rapat Syed Saddiq dan Bella hangat diperkatakan selepas masing-masing dipilih menjadi duta jenama pakaian, sejak kebelakangan ini.
Mereka banyak meluangkan masa bersama malah berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu di Sabah. Syed Saddiq juga pernah muncul dalam video muzik lagu nyanyian bekas isteri kepada pelakon Aliff Aziz itu yang berjudul Tapi Bukan Denganmu.