YDP Agong, Tengku Zafrul saksi perjanjian antara Petronas dan ADNOC di Dubai

YDP Agong, Tengku Zafrul saksi perjanjian antara Petronas dan ADNOC di Dubai

 

Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah menyaksikan perjanjian antara syarikat Petronas Abu Dhabi Sdn Bhd dengan syarikat Emiriah Arab Bersatu (UAE) iaitu Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) di Dubai.

Hadir sama,  Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Perjanjian itu merupakan kerjasama meneroka dan menilai Unconventional Onshore Block 1 yang meliputi kawasan konsesi 2,000 kilometer persegi di wilayah Al Dhafra.

“Pemeteraian perjanjian ini menunjukkan keupayaan bersaing syarikat-syarikat Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Ia juga mencerminkan hubungan rapat dua hala perdagangan Malaysia-UAE dan meningkatkan lagi silaturahim kedua-dua buah negara,” kata Tengku Zafrul dalam kenyataan.

Beliau berharap untuk melihat lebih banyak syarikat Malaysia berjaya di persada antarabangsa sekali gus membuktikan lagi kebolehan Malaysia sebagai pesaing kelas pertama dalam kalangan pemain-pemain industri dunia.

Majlis itu turut dihadiri Presiden UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, Menteri Industri dan Teknologi Maju UAE merangkap Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif ADNOC Dr. Sultan Ahmed Al Jaber dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Datuk Tengku Muhammad Taufik.

Tengku Zafrul yang baru dilantik sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menghadiri mesyuarat khas Kabinet Kerajaan Perpaduan semalam.