“Nampak kaki orang langkah” – Yassin tidur sambil berdiri di lokap Jeddah

“Nampak kaki orang langkah” – Yassin tidur sambil berdiri di lokap Jeddah
Pelawak Yassin Yahya mendedahkan pernah tidur berdiri di lokap ketika ditahan selama 10 hari di sebuah balai polis di Jeddah, Arab Saudi pada Oktober tahun lalu.
“Keadaan di lokap agak menyedihkan. Kali pertama saya tidur berdiri sebab lantai penuh. Saya akhirnya dapat juga tidur di depan pintu tandas. Nampak kaki orang langkah saya dalam masa lapan hari.
“Kemudian, saya dipindahkan ke Pusat Pentadbiran Dan Pengusiran Warga Negara Asing di Jeddah pada 5 November, tahun lalu,” katanya dalam podcast istimewa, Darkcast, Episod Khas – Yassin Yahya, bersalah atau ??? bersama Saiful Apek yang disiarkan dalam YouTube Gitu Gitu Studio, semalam.
Yassin berkata, dia mendapat panggilan pihak konsulat Malaysia di Jeddah pada hari pertama dipindahkan ke pusat berkenaan.
“Pihak konsulat pun sukar nak tembus. Alhamdulillah, mereka akhirnya dapat bercakap dengan saya. Kali pertama saya dapat tinggalkan ‘voice note’ kepada isteri. Atas bantuan pihak konsulat juga, saya diberikan bercakap dengan isteri, namun talian terputus-putus.
“Saya melalui perbicaraan di mahkamah secara talian pada 19 November. Saya jelaskan kejadian berlaku, saya bukannya penyeludup, tetapi saya dijatuhkan hukuman selama enam bulan.
“Saya akur kesalahan. Saya beritahu isteri, ini kesalahan saya bawa barang ada lambang larangan, mungkin saya terlepas pandang. Apapun, saya anggap ini musibah dan perjalanan hidup saya. Mungkin musibah ini satu kebaikan untuk saya.
“Ini satu pengajaran, saya nak pesan kalau pergi negara orang, berhati-hatilah. Jangan bawa barang ada lambang larangan. Saya tidak mengikuti kursus umrah, jadi saya tidak tahu, tapi inilah akibatnya pergi tanpa ilmu,” katanya.
Terdahulu, Yassin yang juga anggota Senario tiba dari Jeddah, Arab Saudi, minggu lalu selepas ditempatkan selama enam bulan di Pusat Pentadbiran Dan Pengusiran Warga Negara Asing.