Bukan kes dadah, Yassin Senario dedah punca sebenar kena tahan di Arab Saudi

Bukan kes dadah, Yassin Senario dedah punca sebenar kena tahan di Arab Saudi
Pelawak Yassin Yahya yang tiba dari Jeddah, Arab Saudi, minggu lalu selepas ditempatkan selama enam bulan di Pusat Pentadbiran Dan Pengusiran Warga Negara Asing akhirnya membuka mulut menceritakan kejadian yang menimpanya.
Menceritakan kejadian berlaku, Yassin yang juga anggota kumpulan Senario berkata, ini adalah kali pertama mahu mengerjakan ibadah umrah, namun kurang ilmu berkaitan perjalanan ke Tanah Arab antara faktor penahanannya.
Bagaimanapun, katanya, penahanannya bukan disebabkan penyalahgunaan dadah.
“Ia bermula dengan satu sidang media menjemput 25 artis veteran. Ada seorang insan dari Pulau Pinang berbesar hati menaja 25 orang artis menunaikan umrah.
“Saya teruja dan fikir inilah waktunya. Orang taja jadi mengapa tidak saya ambil peluang. Ketika itu, saya ada ‘job’, tapi saya fikir nak ambil ‘job’ atau peluang ini (umrah).
“Saya berbelah-bahagi dan pening. Saya tanya isteri dan fikir mungkin inilah niat yang sudah lama diimpikan. Saya terus hubungi emak dan beritahu ada orang nak taja menunaikan umrah.
“Emak beritahu, Alhamdulillah, dia baru semalam berdoa agar salah seorang anak dapat pergi umrah. Itulah saya… Jadi, saya buat keputusan mahu pergi umrah, namun agak kelam kabut buat persediaan,” katanya dalam podcast istimewa, Darkcast, Episod Khas – Yassin Yahya, bersalah atau ??? bersama Saiful Apek yang disiarkan dalam YouTube Gitu Gitu Studio, semalam.
Katanya, tawaran kerja diterima terpaksa cari pengganti, cuma terkilan, tak sempat pergi kursus umrah.
“Saya hanya buat persediaan dengan belajar dalam YouTube dalam masa singkat. Ketika itu, Senario juga baru sahaja memenangi trofi Artis Komedi Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH). Jadi, saya lebih teruja mewakili anggota Senario nak berdoa, sambil belajar,” katanya.
Yassin berkata, dia bertolak ke Jeddah pada 27 Oktober tahun lalu, tapi tidak disangka gurauan bersama ibunya menjadi kenyataan.
“Sebelum berlepas, saya bergurau dengan emak, ‘saya mungkin extend’. Emak terkejut, tapi saya terlepas cakap tanpa sengaja, tapi nampaknya masin mulut.
“Saya menaiki penerbangan lapan jam perjalanan ke Jeddah. Sebelum berlepas saya fikir bagaimana saya nak merokok, jadi saya beli rokok kertas, ‘grinder’ (pengisar) dan beli sekotak rokok di lapangan terbang.
“Sampai di Jeddah, beg diimbas ketika penerbangan ke Madinah. Pihak Kastam nampak sesuatu dan arahkan buka beg saya.
“Dia pegang benda agak mengeruni, saya nampak dia pegang ‘grinder’ yang ada lambang barang terlarang. Mereka terus selongkar beg. Bagi mereka, ini adalah barang mencurigakan,” dakwanya.
Yassin berkata, dia dibawa ke bilik dan badan serta begnya diselongkar lagi.
“Saya pun tak tahu apa yang mereka buat. Saya tanya apa yang mereka buat, saya jelaskan ini rokok. Jika mencurigakan, boleh buat ujian air kencing.
“Pada masa sama, saya suruh mutawif tinggalkan saya kerana mereka mahu kejar penerbangan seterusnya ke Madinah,” dakwanya.
Seterusnya, Yassin mendakwa, dia dibawa ke pejabat polis untuk ambil keterangan, namun tidak dilepaskan.
“Selepas soal siasat, mereka tutup beg yang digeledah dan saya fikir mereka nak hantar saya kembali kepada kumpulan jemaah. Mungkin saya boleh lepas, namun pihak polis suruh ikut ke kenderaan polis (jeep) dan menggari tangan. Saya dibawa ke balai polis di Jeddah pula.
“Saya tertanya-tanya apa salah saya. Kalau fikir, takkan soal lambang jadi satu kesalahan. Kalau salah, saya sudah kena tahan di Malaysia. Saya memang tak tahu mengenai undang-undang di sana.
“Sampai di balai polis, saya tiada peluang memberikan penjelasan atau menghubungi sesiapa, apatah lagi, masalah komunikasi macam ‘ayam dan itik’.
“Dalam perjalanan, saya ‘contact’ Allah sahaja, hanya berserah dan memohon doa serta tak putus berzikir. Sampai sana, beg dan barang-barang termasuk telefon bimbit diambil, saya dimasukkan ke lokap khas untuk dadah,” dakwanya.