XOX Berhad sah pemilik baru pasukan Perak FC

XOX Berhad sah pemilik baru pasukan Perak FC

 

Setelah bergelut dengan isu tunggakan gaji serta pengambil alihan pasukan, hari ini Perak mendapat pemilik baharu apabila syarikat telekomunikasi, XOX Berhad sah mengambil alih daripada Impact Media & Communication Sdn Bhd (IMC).

Menurut laporan Harimau Malaya, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) IMC, Muhammad Yunus Zakariah mengesahkan pengambil alihan ini.

“Ya sudah sah syarikat XOX Berhad adalah pemilik baru Perak. Satu majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) akan berlangsung pada hari ini,” katanya.

Sebelum ini, syarikat JE Resources dikhabarkan bakal menjadi pemilik baharu pasukan Perak meskipun syarikat terbabit tidak dapat menunjukkan proof of fund kepada IMC.

Ini kerana desakan hebat dari para penyokong agar pemilik baharu segera mengambil alih pasukan Perak dimana mereka menganggap IMC sudah tidak mampu untuk menjalankan tugas.

Terdahulu, badan bebas First Instance Body (FIB) telah memberi talian hayat kepada skuad The Bos Gaurus selepas mereka gagal untuk melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan sehingga menyebabkan mereka dipotong mata.

Menurut Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir, selepas meneliti dan menperhalusi permohonan Perak pada 18 April 2022, pihak Jawatankusa FIB memberikan ruang untuk pihak pengurusan kelab Liga Premier itu menyelesaikan segala proses rundingan bersama pemilik baharu sehingga 29 April 2022.

“Pihak Jawatankuasa FIB membuat keputusan untuk memberikan ruang masa kepada Perak kerana kami berharap dengan penyelesaian proses rundingan berkenaan akan dapat memberi satu sinar baharu kepada kebajikan pemain dan pegawai Perak.

“Bagaimanapun sekiranya Perak masih gagal menyelesaikan urusan berkenaan pada tarikh yang telah ditetapkan maka pihak Jawatankuasa FIB akan mengambil tindakan lanjut serta membawa perkara ini ke pengetahuan Ahli Lembaga Pengarah MFL,” katanya.