WWF-Malaysia pertahankan harimau, dakwa pembalakan haram tidak lindungi haiwan

WWF-Malaysia pertahankan harimau, dakwa pembalakan haram tidak lindungi haiwan

 

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan, Abdul Khalim Abu Samah mengenai isu harimau dan pembalakan baru-baru ini bukan sahaja mendapat perhatian rakyat Malaysia, tetapi juga badan bukan kerajaan WWF-Malaysia. Badan ini tampil menjelaskan mengenai penyelidikan yang dilakukan oleh mereka pada 2009 di bawah tajuk, The importance of selectively logged forests for tiger Panthera tigris conservation: a population density estimate in Peninsular Malaysia  yang ditulis oleh D. Mark Rayan dan Shariff Wan Mohamad.

WWF-Malaysia berkata bahawa kajian yang ditulis oleh dua ilmuwan tersebut menyentuh kepada pembalakan yang dilakukan dengan sistem catuan yang betul, bukanlah pembalakan yang sembarangan. “Pembalakan terpilih ialah amalan perhutanan yang hanya menebang sebilangan pokok tertentu setiap tahun dalam petak hutan dan bukannya keseluruhan hutan sekaligus, selaras dengan amalan Pengurusan Hutan Lestari (SFM),” kata WWF-Malaysia dalam satu kenyataan di laman sesawang mereka.

Dalam kertas kajian yang diterbitkan pada 2009 itu, mereka menyatakan bahawa hutan yang ditebang secara terpilih, seperti Hutan Simpan Gunung Basor, berpotensi untuk menampung kepadatan harimau yang tinggi. Kedua penulis ini berkata bagi mengetahui cara yang tepat dalam pengurusan dan pemuliharan harimau di Malaysia, mereka menyimpulkan bahawa penyelidikan lanjut amat diperlukan bagi memahami ekologi harimau dan mangsanya di hutan yang dibalak dengan sistem catuan yang betul.

“Kami percaya bahawa hutan yang bersih dan tidak diganggu adalah habitat yang sesuai untuk harimau. Kawasan perlindungan dalam bentuk perlindungan hidupan liar dan taman negara adalah perlu. Bagaimanapun, sangat sedikit negara yang menumpukan usaha mereka untuk memulihara hutan mereka secara eksklusif untuk harimau dan spesies lain. Bhutan, misalnya, mempunyai 60 peratus tutupan hutan,” kata WWF-Malaysia.

Bagi WWF-Malaysia, semua hutan merupakan habitat semula jadi harimau. Jadi amatlah penting kawasan ini dijaga dan diurus dengan mematuhi prinsip Pengurusan Hutan Lestari (SFM). Prinsip ini dibina bagi menjaga semua spesies haiwan yang lain tidak kira mangsa atau pemangsa dan tumbuh-tumbuhan yang terdapat di hutan. Disebabkan itu, apa sahaja bentuk pengurusan hutan, mestilah berlandaskan prinsip ini bagi mengelak sebarang kesan negatif kepada harimau dan haiwan lain.

“Atas sebab itu, kerja pemuliharaan harimau WWF-Malaysia terdiri daripada beberapa komponen, yang kesemuanya direka untuk mengurangkan ancaman terhadap harimau dan hidupan liar lain yang hidup dalam landskap yang sama.

“Kami ingin menekankan bahawa kerajaan Malaysia dengan kerjasama organisasi pemuliharaan harimau telah mengambil langkah aktif untuk menangani ancaman tersebut,” tambahnya lagi.

Untuk rekod, pada 10 Januari 2022, Perdana Menteri telah mempengerusikan mesyuarat pertama Pasukan Pemuliharaan Harimau Kebangsaan (MyTTF) di Putrajaya. Dalam mesyuarat tersebut, langkah untuk memulihara harimau telah diusahakan dalam Tindakan Strategik Pemuliharaan Harimau Malaya 10 tahun. Selain itu, MyTTF juga bersetuju untuk memelihara dan mengukuhkan habitat melalui pengurusan tanah yang mampan dan menghentikan pencerobohan dan aktiviti pemburuan haram.

Sebelum ini, Khalim dikecam selepas berkata bahawa pembalakan sebenarnya “baik untuk populasi harimau”. Beliau berhujah bahawa kemunculan tumbuhan baru akan membawa kepada pertambahan populasi haiwan dan menjadi tempat memburu harimau. Tambah Khalim lagi, Jabatan Perhutanan Kelantan yang dikecam berhubung kadar pembalakan di negeri itu sentiasa mematuhi catuan penebangan tahunan yang ditetapkan Majlis Tanah Negara.