Wujud usaha singkirkan GCEO MAHB, kata sumber

Wujud usaha singkirkan GCEO MAHB, kata sumber

 

Walaupun berjaya menerajui Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) melalui salah satu tempoh paling mencabar dalam sejarah penerbangan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya (GCEO), Mohd Shukrie Mohd Salleh, kini mungkin kehilangan jawatannya.

Terdapat pergolakan di MAHB mengenai rancangan untuk mengganti atau mengekang kewibawaan tokoh korporat berkenaan dalam syarikat itu.

Intipati isu ini adalah perselisihan antara pemegang taruh utama mengenai Mohd Shukrie.

“Ada antara mereka yang berpengaruh mahu beliau digantikan. Tak jelas kenapa kerana selama 20 bulan beliau memegang jawatan (sebagai GCEO), prestasinya cemerlang dan ini diakui lembaga pengarah,” kata satu sumber.

“Itulah sebabnya apabila dosir prestasinya dibentangkan kepada mereka pada 2 Julai, mereka bersetuju dengan saranan kontraknya dilanjutkan selama tiga tahun.”

Setakat ini menurut sumber berkenaan, lembaga pengarah menentang desakan daripada pemegang taruh utama yang mahu Mohd Shukrie disingkirkan “dalam tempoh beberapa bulan akan datang”.

Ini membawa kepada “rancangan alternatif” dengan mewujudkan jawatan pengarah urusan (MD). Jawatan MD lebih tinggi daripada GCEO dan ini dapat mengekang kewibawaannya, menurut sumber.

“Lembaga pengarah menegaskan Mohd Shukrie tidak boleh diganti dan beliau mesti sekurang-kurangnya diberi pelanjutan kontrak satu tahun.

“Bagaimanapun mereka bersetuju dengan pelantikan MD oleh pemegang taruh utama,” katanya.

Namun menurut sumber itu, pemegang taruh utama tetap bertegas mahu Mohd Shukrie disingkirkan.

“Saya tidak tahu bagaimana mereka akan cari alasan untuk menyingkirkan Mohd Shukrie kerana lembaga pengarah telah memberi ulasan cemerlang mengenai prestasi dan kepemimpinannya.”

Ini termasuk melindungi MAHB daripada usul pengambilalihan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah yang diteliti pelbagai pihak, kata sumber, lapor FMT.

“Menyingkirkannya tanpa alasan yang munasabah hanya akan menimbulkan persoalan dan menghantar mesej yang salah mengenai pemegang taruh MAHB dan kerajaan.”