Waspada akaun palsu kutip dana mangsa banjir

Waspada akaun palsu kutip dana mangsa banjir

 

Polis akan melakukan pemantauan dari pelbagai sudut termasuk laman sosial serta aplikasi WhatApps bagi memantau kemungkinan wujud akaun palsu yang dibuka untuk mengutip dana bagi membantu mangsa banjir.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, biarpun belum ada sebarang kes berlaku namun pihaknya sentiasa peka terhadap perkara ini.

Menurutnya pihak polis melalui Bahagian Jenayah Komersial kini giat memantau perkara ini bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan di atas kejadian banjir yang berlaku di Mukim Beriah, Alor Pongsu, di sini.

“Selain itu, polis turut memantau kawasan rumah penduduk yang di tinggalkan bagi memastikan harta benda mereka selamat.

“Justeru, penghuni yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) tidak perlu bimbang kerana lebih 20 anggota yang ditugaskan membuat pemantauan setiap masa,” katanya ketika ditemui media di PPS Sekolah Kebangsaan Alor Pongsu, di sini, hari ini.

Sementara tinjauan media di dua lokasi PPS mendapati seramai 64 mangsa banjir dari 18 keluarga ditempatkan di PPS SK Alor Pongsu manakala 103 mangsa banjir dari 24 keluarga ditempatkan di PPS SK Changkat Lobak.

Sumber: Harian Metro