Waris mangsa langgar lari di Tanjung Malim dikesan

Waris mangsa langgar lari di Tanjung Malim dikesan

 

SEORANG pejalan kaki maut dirempuh sebuah kenderaan dalam kejadian langgar lari di Kilometer 111, Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur, Tanjung Malim, Perak pada Rabu.

Dalam kejadian sekitar jam 6 pagi itu, lelaki yang belum dikenal pasti identitinya maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, siasatan awal mendapati mangsa berada berhampiran garisan lurus bahu jalan dan berjalan kaki menghala ke Slim River.

Menurutnya, mangsa dipercayai dilanggar sebuah kenderaan yang tidak pasti jenisnya hingga menyebabkan kecederaan parah di bahagian kepala.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa maut di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Slim River, Perak untuk bedah siasat.

“Identiti mangsa tidak dapat dikenal pasti berikutan tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai pada mayat dan di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di Tanjung Malim, Perak.

Sulizmie Affendy berkata, usaha sedang dijalankan bagi mendapat maklumat dan mengesan waris lelaki terbabit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mengetahui atau menyaksikan kejadian itu diminta tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan di balai polis berhampiran,” katanya.