Warga Thailand ditahan positif Covid-19, 38 polis jalani kuarantin di rumah
Seramai 38 anggota polis pelbagai pangkat dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, di sini menjalani kuarantin di rumah masing-masing selepas Op Noda Ahad lalu mendapati seorang wanita warga Thailand yang ditahan positif Covid-19.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, operasi pada pukul 6 petang itu mendapati wanita berusia 31 tahun berkenaan yang bekerja sebagai tukang urut di sebuah premis di Jalan Tupai di sini, disahkan positif Covid-19 oleh petugas Kementerian Kesihatan selepas ujian swab dilakukan terhadapnya.
Susulan itu, katanya, atas nasihat KKM semua anggota yang terlibat dalam operasi berkenaan termasuk anggota kawalan lokap serta mahkamah diarahkan menjalani kuarantin di rumah masing-masing bermula semalam.
“Wanita orang kena tahan (OKT) tersebut kini dihantar ke Hospital Kuala Kangsar dan diambil tindakan selanjutnya.
“Selain anggota yang terlibat dalam operasi tersebut, ujian swab turut dilakukan Kementerian Kesihatan terhadap OKT yang berada di sel tahanan warga Thailand itu,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Taiping, hari ini.
Sementara itu, Osman berkata, polis menambah tiga lagi sekatan jalan raya (SJR) di Taiping berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini bermula 22 Januari hingga 4 Febuari ini.
Menurutnya, ini menjadikan jumlah SJR di Taiping sebanyak lima lokasi.
“Disebabkan ramai anggota polis yang menjalani kuarantin di rumah, kami mendapat bantuan anggota dari pelbagai agensi termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk melaksanakan SJR,” katanya.
Mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak awal bulan lalu, beliau berkata, sebanyak 365 kompaun dikeluarkan ekoran kegagalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di daerah ini.
“Jumlah itu menjadikan jumlah keseluruhan kompaun bermula Mac tahun lalu melebihi 1,000,” katanya. – Utusan