Warga Myanmar mengaku salah rasuah polis

Warga Myanmar mengaku salah rasuah polis

Dua warga Myanmar didenda RM2,500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini, atas pertuduhan memberi rasuah kepada anggota polis tiga tahun lalu.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda.

Abdul Manaf Abu Khalaf, 28, dan Arif Dilda Amin, 24, yang juga penjual sayur di pasar borong membuat pengakuan atas pertuduhan pilihan selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim S Indra Nehru.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Berdasarkan pertuduhan, mereka secara rasuah memberi suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM60 kepada Lans Koperal Mohd Fitri Lasim yang bertugas di Balai Polis Pekan Baru sebagai balasan melepaskan mereka daripada diambil tindakan udang-undang di bawah kesalahan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mereka melakukan kesalahan itu di Jalan Yau Tet Shin di Kinta pada jam 10.15 pagi, 25 Disember 2018.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah peruntukan sama yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak sampai sepuluh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/01/660837/dua-warga-myanmar-mengaku-salah-sogok-polis-metrotv