Warga emas tersepit sebelum disahkan maut dalam kemalangan 4 kenderaan

Warga emas tersepit sebelum disahkan maut dalam kemalangan 4 kenderaan

 

Sepasang suami isteri tersepit dalam kenderaan yang dipandu selepas terlibat dalam kemalangan yang membabitkan empat kenderaan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah utara dekat sini, pada Isnin.

Lelaki berusia 70 tahun yang memandu kereta Mazda CX-5 itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sementara isterinya berusia 59 tahun yang berada di kerusi penumpang hadapan mengalami kecederaan pada bahagian kepala.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata sebelum itu pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian itu pada jam 5.25 petang.

Katanya siasatan awal mendapati, sebelum kejadian, kenderaan PLUS Ronda jenis Toyota Hilux sedang berhenti di lorong kecemasan bagi memberi bantuan kepada kereta Suzuki Swift yang mengalami masalah tayar pancit.

Menurutnya, secara tiba-tiba Mazda CX-5 yang dipandu mangsa dari arah Kuala Lumpur menghala ke Ipoh telah melanggar kenderaan PLUS Ronda tersebut dan menyebabkan kenderaan itu melanggar bahagian belakang Suzuki Swift berkenaan.

“Akibat daripada perlanggaran itu, kenderaan Mazda CX-5 telah terbabas ke arah kanan jalan sebelum dilanggar dari belakang oleh sebuah kenderaan lain jenis Kia Optima.

“Pemandu Mazda CX-5 telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala isteri mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan telah dirujuk ke Hospital Slim River bagi menerima rawatan.

“Sementara pemandu dan penumpang kenderaan-kenderaan lain yang terlibat dalam kemalangan itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah Mohd Yusri, mangsa yang maut telah dibawa ke Hospital Tapah untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Selain itu beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, Inspektor Ruzainal Aman Ruslan di talian 012-4500968 bagi membantu siasatan.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak memaklumkan, kemalangan itu telah mengakibatkan pasangan suami isteri terbabit tersepit dalam kenderaan yang dipandu.

“Sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River telah membawa keluar kedua-dua mangsa daripada bangkai kenderaan dengan menggunakan peralatan menyelamat,” katanya.

PLUS Trafik dalam hantaran di laman Twitter pula memaklumkan kemalangan di KM 358.7 arah utara itu telah mengakibatkan kesesakan trafik sehingga 5 km.