Warga emas rempuh tiga pejalan kaki

Warga emas rempuh tiga pejalan kaki

Tiga pejalan kaki cedera apabila dirempuh sebuah kereta yang hilang kawalan selepas cuba mengelak sebuah motosikal di Pasar Pagi Klebang Jaya di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 9 pagi itu, tiga pejalan kaki masing-masing dua lelaki dan seorang wanita berusia 64, 70 dan 55 tahun mengalami luka-luka dan lebam di beberapa bahagian badan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintenden Mohamad Nordin Abdullah berkata, kejadian berlaku melibatkan sebuah kereta jenis Proton Iriz dipandu lelaki berusia 82 tahun yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Chemor.

Katanya, kereta itu bagaimanapun hilang kawalan selepas cuba mengelak sebuah motosikal yang tiba-tiba masuk ke laluannya.

“Akibat terkejut dan mengelak ke kanan, kereta dipandu warga emas itu telah terlanggar sebuah van di kanan jalan, gerai penjaja dan tiga orang pejalan kaki di pasar itu.

“Ketiga-tiga pejalan kaki tersebut cedera ringan termasuk luka-luka dan lebam dengan masing-masing menerima rawatan di hospital,” katanya. – Kosmo