Warga emas maut, motosikal terlanggar muatan besi lori

Warga emas maut, motosikal terlanggar muatan besi lori

 

Seorang lelaki warga emas maut setelah motosikal yang ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah lori muatan besi di Kilometer 12 Jalan Teluk Intan-Hutan Melintang, di sini lewat malam tadi.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, mangsa berusia 62 tahun yang bekerja sebagai pemandu traktor itu mengalami kecederaan parah di bahagian dada dan meninggal di tempat kejadian.

Katanya siasatan awal mendapati, mangsa yang menunggang motosikal jenis Suzuki terlanggar barangan besi bahan binaan kapal dibawa oleh lori berkenaan, yang terkeluar dari kawasan muatan.

“Pihak kami terima panggilan daripada orang awam pada jam 10.30 malam mengatakan terdapat kemalangan jalan raya maut melibatkan sebuah motosikal dan lori di lokasi tersebut.

“Kejadian berlaku apabila lori itu sampai dan berhenti di hadapan pintu kawasan kilang pembinaan kapal untuk menunggu pintu pagar utama dibuka.

“Tiba-tiba mangsa sampai dari arah Hutan Melintang ke Teluk Intan, telah terlanggar pada muatan besi bahan pembinaan kapal yang dibawa oleh lori tersebut.

“Keadaan jalan di tempat kejadian gelap dan tiada lampu jalan menyebabkan mangsa tidak nampak lori yang sedang berhenti di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya lagi, akibat pelanggaran itu, dada mangsa terkoyak dan meninggal dunia di tempat kejadian. Manakala pemandu lori tidak cedera.

Ahmad Adnan berkata mangsa kemudiannya dibawa ke hospital Teluk Intan bagi proses bedah siasat.

Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.